fbpx
FIRDAUS, Wan dan Doktor Helmi bersama tangkapan ‘trofi’ tuna sirip kuning mereka.

Menawan Luconia, permata di timur Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUGUSAN terumbu karang ini merupakan antara struktur terluas di Malaysia, malah antara yang terbesar di rantau Asia Tenggara.  

Luconia terbahagi kepada dua bahagian iaitu North Luconia dan South Luconia. Kedua-duanya terdapat struktur karang, puncak tukun semula jadi serta kawasan cerunan dalam yang menjadi habitat pelbagai spesies ikan marin.

Dari sudut sukan memancing, Luconia dianggap sebagai ‘syurga’ bagi kaki pancing laut dalam. 

Spesies ikan seperti tuna sirip kuning, tuna gigi anjing, gerepoh, aji-aji, wahoo dan sebagainya sering menjadi buruan utama pengunjung. 

Ada kawasan yang kedalaman airnya melebihi 200 meter (m) dengan arus kuat hingga menjadi­kan kawasan ini padang pancing yang mencabar, walaupun bagi pemancing berpengalaman. 

Selain itu, keindahan terumbu karangnya turut menarik minat penyelam skuba dan penyelidik marin.

Awal Oktober lalu, seramai 16 orang pemancing telah menyertai perjalanan kapal Kerisi Marine 5 (KM5) menuju ke Luconia.

Separuh daripada mereka baru pertama kali turun ke sini, dan ini merupakan trip selama lima hari empat malam. 

Misinya mudah, mengutip pengalaman dan merasai sendiri tentangan penghuni dasar Luconia.

BIGEYE tuna banyak kami dapat ketika memancing pada malam hari.

Bertolak dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur ke Bintulu, Sarawak yang terkenal sebagai bandar ‘minyak’.

Hari pertama

Perjalanan yang bermula dari jeti di Bintulu mengambil masa di antara 12 hingga 16 jam untuk sampai ke lokasi pertama pancingan iaitu Seahorse Breakers yang terletak di sebelah utara Luconia.

Di sini air agak cetek, dalam lingkungan antara 10 hingga 100m. 

Sesi pemanas badan di­mulakan dengan acara light jigging menggunakan jig antara 80 hingga 150 gram (g). Kepingan jig ini dimainkan di sekitar karang. Hasilnya? 

Senyum tidak pernah lekang di bibir. Dalam masa singkat, jig di­sambut oleh ikan-ikan karang seperti kerapu dan sebagainya. 

Di kawasan karang yang sama, salah seorang daripada ahli trip berjaya menaikkan seekor bluefin trevally menggunakan jig.

Jurang gelap

Apabila malam menjelma, KM5 bergerak ke kawasan yang dipanggil ‘lereng curam’ pada kedalaman 140 hingga 250m. Pada waktu ini, permainan jig ringan ditukar kepada jig jauh lebih berat, antara 150 hingga 400g untuk melawan arus dasar yang sangat kuat.

Malam itu menjadi ‘pesta tuna’ dengan lebih 30 ekor ikan bigeye tuna berjaya didaratkan. Tambahan lagi dengan sekitar 40 ekor ikan ruby snapper turut dinaikkan.

Namun di kegelapan malam itu, situasi bertukar menjadi riuh apabila berdepan kejadian yang tidak disangka. Tiga kali tali daripada kekili elektrik ditarik hingga habis kosong gelendung dalam sekelip mata oleh pelaku yang tidak pasti. 

IKAN ruby snapper dari lubuk yang dalam.

Tuna sirip kuning

Kemuncak ekspedisi ini tercetus apabila kelibat tuna sirip kuning atau yellowfin tuna (YFT) iaitu buruan paling berharga di perairan Luconia yang dicari-cari akhirnya muncul di permukaan laut. 

Saat matahari mula menyapa di ufuk timur, teknik popping menjadi taruhan. Lobo Project Popper seberat 80g, gewang buatan tangan ini dilontar ke arah riak air yang mencurigakan.

Letupan air besar memecah ke­sunyian pagi apabila YFT menyambar gewang tersebut. 

Pertarungan sengit pun bermula, menguji kudrat badan. 

Setelah perjuangan panjang, seekor YFT seberat 29.5 kilogram berjaya didaratkan, satu angka yang layak digelar sebagai ‘sijil kelayakan samudera’.

Secara keseluruhan, ekspedisi ini menyaksikan kejayaan 

menaikkan tiga ekor YFT berskala besar, menjadi bukti betapa 

Luconia masih menyimpan keperkasaan laut dalam yang tiada bandingannya.

Pulang dengan cerita

Tong ikan sudah pun sarat seawal malam kedua, namun hasil sebenar ekspedisi ini tidak terletak pada jumlah tangkapan semata-mata. 

Sebaliknya pada nilai pengalaman yang dibawa pulang bersama gelombang dan hembusan angin laut dalam. 

Luconia bukan sekadar padang pancing yang menguji keupayaan joran, kekuatan tali atau keberkesanan gewang. 

Lebih daripada itu, ia sebenarnya medan ujian ketabahan, strategi dan kepercayaan antara rakan-rakan yang sama-sama berjuang dalam ombak serta arus tidak pernah jinak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN