Aksi Dy Pablo semasa bermain game.

Manisnya dunia streaming cuma 30 peratus – Dy Pablo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam dunia e-sukan tempatan yang semakin rancak, nama Dy Pablo kini meniti di bibir peminat sebagai antara personaliti paling menyerlah.

Jika dahulu susuknya hanya dikenali dalam komuniti kecil permainan video, kini figura ini mula mencuri perhatian arus perdana, bukan sahaja sebagai streamer yang konsisten dan menghiburkan, tetapi juga sebagai gamer GTA Roleplay (GTA RP) yang mampu menarik ribuan penonton setiap kali dia membuat sesi penstriman langsung.

Dengan gaya spontan, selamba dan penuh karakter, Dy Pablo atau nama sebenarnya Mohamad As’ Syafiq Mohamad Idris, 31, berjaya membina identitinya tersendiri di platform penstriman.

Keupayaannya menghidupkan watak, berimprovisasi dialog dan berinteraksi spontan dengan pemain lain menjadikan siaran langsungnya penuh drama dan humor yang sukar dijangka.

Penonton sering menyamakan gaya penceritaannya seperti menonton sebuah ‘mini drama’ secara langsung, dengan konflik, momen lucu dan aksi yang membuatkan penonton tidak jemu mengikuti perkembangannya.

Bagi Dy Pablo, GTA RP bukan sekadar permainan, tetapi satu platform untuk menunjukkan bakat komunikasi serta kreativiti dalam membina naratif.

Ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia bermain bukan sekadar untuk menang, tetapi juga bermain untuk bercerita, menjadikan setiap sesi strim terasa seperti siri hiburan yang penuh plot twist, jenaka dan interaksi real-time.

Berkongsi dengan K-Remaja, Dy Pablo berkata, dia sebenarnya lari bidang jauh kerana jejaka itu asalnya mengusahakan perniagaan katering milik keluarga.

“Saya mula terjebak dengan e-sukan pada penghujung 2019. Sebelum itu, saya mengusahakan perniagaan keluarga, boleh dikatakan saya berasal dari bidang penyediaan makanan dan minuman (F&B).

“Namun oleh kerana bisnes ketika itu agak tidak stabil, maka saya cuba-cuba bermain game semasa dunia dilanda pandemik.

“Rakan-rakan pula ketika itu menyedari bahawa saya boleh bercakap dengan baik, dan mengesyorkan saya untuk membuat sesi penstriman langsung,” katanya.

Dy Pablo bermula di Facebook, namun mengakui ketika itu ia tidak mendapat jumlah tontonan yang tinggi.

Ketika itu juga, platform TikTok sedang meningkat naik dan Dy Pablo kemudiannya mencuba sesi live streaming di TikTok.

“Niat saya adalah untuk menyokong rakan-rakan dalam bidang ini, namun daripada situ juga, nama saya mula dikenali,” katanya.

Akui Dy Pablo, tidak sukar baginya untuk mengubah haluan, memandangkan dia tahu kekuatannya dalam bercakap dan menghiburkan penonton.

DY Pablo juga merupakan seorang gamer GTA RP.

Begitu pun, cabarannya tetap banyak, lebih-lebih lagi sewaktu dia baru bermula sebagai streamer.

“Boleh dikatakan, dalam dunia streaming ini, manisnya cuma 30 peratus, selebihnya dipenuhi dengan pelbagai cabaran.

“Pada permulaan kerjaya, saya berdepan kesukaran mendapatkan pengikut, memandangkan saya tidak dikenali.

“Namun, lama-kelamaan, berkat kesungguhan saya akhirnya dikenali dan boleh dikatakan mampu duduk sekali dengan streamer-streamer besar yang mempunyai ramai pengikut,” jelasnya.

Cabaran tersebut juga jelas Dy Pablo, pernah menjadikan dia hampir berputus asa dan terfikir untuk meninggalkan dunia e-sukan.

“Sama seperti industri lain, live streaming juga dipenuhi dengan manusia toksik.

“Lebih mencabar lagi adalah mereka memberi kutukan dan komen-komen negatif semasa sesi penstirman langsung yang sudah semestinya mengganggu emosi.

“Antara yang pernah saya terima adalah pengikut menuduh saya gilakan populariti, menumpang populariti streamer lain dan sebagainya,” katanya.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Dy Pablo dan dia mengakui minat mendalam terhadap apa yang dibuatnya itu menjadikan dia mahu meneruskan kerjaya itu untuk satu tempoh lagi.

“Bagi saya, selagi masih ada demand, saya akan terus berkarya sebagai streamer.

“Begitu pun, saya tidak menafikan, jika sampai satu saatnya nanti hati saya tergerak untuk melakukan sesuatu yang lain, maka mungkin saya akan pertimbangkan,” katanya yang juga merupakan seorang vlogger dan penulis lagu.

Mengakhiri bicara, Dy Pablo berkata, buat mereka yang mungkin berhasrat untuk menjadi streamer sepertinya supaya bermula sahaja dengan apa yang mereka ada dan tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan peralatan yang canggih.

“Cukup sekadar ada komputer dan minat. Selain itu, jangan bermula hari ini dan fikir anda akan terus menjadi popular.

“Buang mindset mahu jadi popular, buang mindset tentang hadiah yang diterima sewaktu sesi live, buang juga mindset tentang gaji yang tinggi.

“Jika anda minat, itulah yang sebenarnya akan membuatkan anda mahu terus kekal dalam bidang ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN