fbpx
ZALIMAN (tengah) bergambar bersama jawatankuasa Festkon 20 di tapak pesta konvo UniMAP di Arau semalam.

FESTKON 20 UniMAP rapatkan universiti dan warga Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Festival Konvokesyen Ke-20 (FESTKON 20) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membuka tirai hari ini penuh warna-warni di Dataran Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra di sini.

Penganjuran selama lapan hari hingga 26 November itu menjadikan festival itu bukan sahaja medan meraikan graduan, malah wadah besar menyatukan UniMAP de­ngan rakyat negeri ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, FESTKON 20 simbol keserakanan dan kebersamaan antara UniMAP dan masyarakat Perlis.

Katanya, UniMAP sejak awal dibangunkan sebagai universiti rakyat Perlis aktif menjalankan program yang memberi manfaat terus kepada komuniti.

“UniMAP sentiasa bersama masyarakat melalui penganjuran program berimpak seperti Siswa Universiti Komuniti Madani (SUKA), Program Bakti Madani, inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama sekolah-sekolah, program kebajikan pelajar B40 serta
pelbagai aktiviti pendidikan, kesukarelawanan dan kebajikan dilaksanakan sepanjang tahun.

“UniMAP ialah universiti milik rakyat Perlis. Apa jua program yang dijalankan sama ada berbentuk kebajikan, pendidikan, kesukarelawanan atau pemba­ngunan pelajar semuanya dilakukan dengan semangat kebersamaan bersama rakyat negeri ini. Kami sentiasa memastikan UniMAP bergerak seiring dengan komuniti,” katanya.

Ujarnya, kejayaan program berteraskan komuniti tidak dapat dicapai tanpa keserakanan dan kerjasama erat dengan jabatan kerajaan, agensi negeri dan rakan strategik tempatan.

“Kekuatan UniMAP hasil kerjasama utuh de­ngan jabatan-jabatan di peringkat ne­geri dan daerah. Semangat keserakanan ini memastikan setiap program kami memberi impak besar kepada masyarakat.

“Pelaksanaan program universiti termasuk FESTKON 20 selari dengan tujuh teras kemenjadian mahasiswa UniMAP yang menekankan pembangunan holistik melalui kampus kondusif, kebajikan terjamin, pemerkasaan mahasiswa, pembinaan bakat, keusahawanan, penglibatan masyarakat serta penyertaan ­aktif alumni,” ujarnya.

Kata Zaliman, FESTKON 20 menjadi manifestasi nyata bagaimana semua teras ini dilaksanakan secara langsung. Le­bih istimewa pe­nganjuran festival ini digerakkan sepenuhnya oleh mahasiswa ­UniMAP daripada pelbagai fakulti.

“Saya amat bangga FESTKON 20 ini diurus, dirancang dan digerakkan oleh pelajar sendiri. Mereka mempamerkan profesionalisme, kepimpinan dan kreativiti luar biasa.

Pengarah FESTKON 20, Nabila Ahmad Radzi berkata, persiapan festival itu dilaksanakan secara teliti sejak dua bulan lalu dengan pengli­batan pelajar serta kerjasama pelbagai unit dan agensi.

“Tahun ini lebih meriah de­ngan sokongan jabatan kerajaan, komuniti kampus dan rakan strategik UniMAP,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN