INTEGRITI, disiplin serta sikap profesionalisme merupakan tunjang utama kepada imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sebuah pasukan keselamatan utama di negara.
Selain berdepan dengan pelbagai cabaran ketika bertugas di lapangan, PDRM juga perlu sentiasa mengekalkan imej yang positif di mata rakyat.
Ini kerana setiap tindakan dan keputusan anggotanya, bukan sahaja mencerminkan imej pasukan, tetapi juga menjadi ukuran kepercayaan rakyat terhadap PDRM.
Baru-baru ini, seorang pegawainya dikenali Inspektor Sheila kembali menjadi perhatian selepas didakwa di mahkamah atas pertuduhan menghalang tugas seorang anggota polis lain.
Biarpun Sheila difahamkan sudah digantung tugas, namun gelaran dan imejnya sebagai ‘inspektor’ kekal di ‘mata’ masyarakat yang merujuk kepada PDRM.
Isu Sheila ini tidak boleh dipandang ringan dan dibiarkan berleluasa meskipun ia mungkin dianggap sebagai kes terpencil.
Seperti kata pepatah, ‘akibat nila setitik, rosak susu sebelanga’.
Bagi penulis yang kini bertugas di meja jenayah, PDRM perlu menyelesaikan perkara ini dengan segera termasuk memberi tumpuan kepada isu-isu integriti terutama dalam kalangan warganya.
Untuk rekod, setakat Januari hingga Mei lalu, seramai 59 anggota dan pegawai PDRM telah dibuang kerja atas pelbagai kesalahan tatatertib termasuk salah guna kuasa, dadah dan rasuah.
Selain hukuman buang kerja, sebanyak 492 tindakan tatatertib dilaksanakan, manakala 671 anggota ditahan kerja dan 146 pula digantung kerja.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, jenayah dan salah laku membabitkan anggota dan pegawai PDRM perlu ditangani secara tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan pelakunya.
Menurutnya, tindakan segelintir anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam rasuah telah menjejaskan serta mencemarkan imej pasukan itu, walaupun majoriti daripada mereka menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.
“Semasa saya menjawat jawatan Ketua Polis Johor, ada pegawai dan anggota diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula, pegawai berpangkat Superintendan, Asisten Komisioner dan Inspektor turut dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya.
Ayob Khan menegaskan, tindakan menyembunyikan kes seumpamanya demi menjaga nama baik organisasi hanya akan menyebabkan gejala tersebut semakin parah dan sukar dibanteras.
“Bagi PDRM, tiada kompromi. Jika saya kesan, pilihan pertama ialah menyerahkan kes kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika melibatkan kes besar.
“Kedua adalah membuka kertas siasatan berkaitan dan seterusnya memulakan tindakan tatatertib,” jelasnya.
Justeru, mengembalikan dan mengekalkan imej PDRM sebagai satu pasukan yang utuh adalah penting dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.















