fbpx
Tertuduh ketika dibawa ke mahkamah hari ini.

11 hari jadi jaga, pesara tentera didakwa ‘sentuh’ murid lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pesara tentera yang baharu 11 hari bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 59 tahun, yang juga bapa enam anak bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dua bulan bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 1.23 tengah hari ketika berada di dalam tandas murid lelaki di sebuah sekolah dalam daerah Melaka Tengah, 11 November lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Muhammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya menampung kehidupan keluarga dengan wang pencen sebanyak RM900 sebulan dan bakal kehilangan pekerjaan susulan pertuduhan dihadapi.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 6 Januari depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI