PETALING JAYA – Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila deretan paip, jatuh bertalu-talu dari atas sebelum menghentam jalan raya hanya beberapa meter di hadapan keretanya.
Menerusi hantaran pengguna tersebut dikenali sebagai @AminNasrun di Thread, kejadian dirakam dengan kamera papan pemuka pada pukul 1.33 awal pagi tadi di sebuah apartmen terletak di Damansara.
Dalam kejadian yang berlaku di salah sebuah blok, pemandu berkenaan dilihat memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba selepas menyedari beberapa paip panjang terjatuh dari atas apartmen.
“Kejadian balik dari beli barang dapur. Tu kalau paip jatuh semasa motosikal lalu fuh.. Habis calar kereta,” tulis pengguna tersebut.
Ketika kejadian juga terdapat sebuah lagi kereta berada di hadapannya dan bernasib baik paip itu hanya menghentam di bahagian belakang kereta tersebut sahaja.
Sementara itu tinjauan di ruangan komen, ramai penghuni apartmen lain yang duduk di blok lain mengakui terdengar bunyi jatuh yang sangat kuat.
“Saya duduk blok B, kuat dengar semalam. Rupa-rupanya ini yang jatuh. Seram sangat,” komen Shida.
“Boleh bawa maut kalau macam ni. Paip apa tu? Saluran air hujan ke, pihak pengurusan perlu bertanggungjawab,” komen Hasni.
“Sebaik tak ada motosikal lalu je, kalau tak mesti cedera parah. Punya banyak paip jatuh,” komen Hani pula. – KOSMO! ONLINE
View on Threads















