CANBERRA – Hampir 70 buah sekolah di Australia ditutup untuk sementara waktu selepas pasir permainan yang digunakan pelajar dicemari asbestos, lapor akhbar Metro UK.
Ujian pasir berwarna-warni itu menunjukkan ia mengandungi asbestos tremolit iaitu sejenis bahan yang terdapat secara semula jadi tetapi masih boleh menjadi bahaya.
Asbestos diharamkan kerana menghidu seratnya boleh menyebabkan kanser pernafasan, manakala pendedahan jangka masa lama menjadi punca kematian berkaitan kerja terbesar di United Kingdom.
Pada 12 November lalu, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) mengeluarkan notis penarikan balik pasir permainan yang dibuat oleh syarikat Educational Colours dan dijual di kedai utama di negara itu.
Lebih 12 sekolah dan prasekolah ditutup Jumaat lalu tetapi sejak itu, satu lagi arahan penarikan balik pasir permainan dikeluarkan, kali ini dijual oleh Kmart dan Target.
Pasir itu kemudian didapati lebih banyak digunakan. Justeru, 69 sekolah ditutup hari ini sementara ujian udara dijalankan, manakala pasir yang dikenal pasti dibuang.
“Kontraktor asbestos khusus akan dipanggil untuk menguji, membaik pulih dan membersihkan ruang sekolah untuk digunakan semula,” kata Menteri Pendidikan Wilayah Ibu Kota Australia, Yvette Berry sambil menekankan bahawa risikonya adalah rendah dan ujian udara setakat ini negatif.
Timbalan Pengerusi ACCC, Catriona Lowe berkata: “Kami menggesa pelanggan yang memiliki mana-mana produk untuk segera berhenti menggunakannya dan jauhkan daripada kanak-kanak.” – AGENSI














