fbpx
Tangkap layar kemalangan membabitkan empat kenderaan di ibu negara, awal pagi Jumaat lalu.

[VIDEO] Myvi ‘tak sempat brek’, dua dilanggar ketika bantu lori rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang mahu membantu sebuah lori rosak di lorong kanan Lebuhraya Lingkaran Tengah arah Sungai Besi cedera selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kemalangan itu tular selepas satu video berdurasi 27 saat dimuat naik ke Facebook dan mula dikongsi secara meluas sejak semalam.

Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 12.50 pagi itu berlaku apabila sebuah lori dipandu lelaki berusia 27 tahun mengalami kerosakan enjin dan terpaksa berhenti di lorong kanan.

Katanya, seorang pemandu Perodua Bezza berusia 29 tahun kemudian memberhentikan kenderaan di hadapan lori tersebut untuk membantu memasang tanda amaran serta mengalihkan lori ke bahu kiri.

“Ketika kedua-dua mereka berada di bahagian belakang lori, sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 48 tahun melalui lorong kanan gagal menyedari kenderaan yang berhenti tanpa tanda amaran sebelum merempuh kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Myvi berkenaan kemudian hilang kawalan dan berpusing ke arah kiri jalan sebelum melanggar sebuah motosikal Yamaha ditunggang lelaki berusia 29 tahun di lorong kiri.

Katanya, kesemua mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut.

“Pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur telah memohon rakaman rakaman televisyen litar tertutup, menjalankan pemeriksaan lokasi dan akan merakam percakapan semua individu terlibat selain mengesan pemilik akaun media sosial yang memuat naik video tersebut,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN