SHAH ALAM – Sindiket rokok seludup yang aktif di sekitar Lembah Klang kini semakin licik dalam menjalankan kegiatan mereka termasuk menggunakan teknologi canggih seperti peranti jammer dan pengimbas bagi mengelak dikesan polis.
Peranti jammer ialah peranti elektronik yang direka untuk menyekat atau mengganggu isyarat komunikasi radio seperti talian telefon bimbit.
Bagaimanapun, modus operandi sindiket tersebut berjaya dibongkar melalui operasi di sekitar Sungai Buloh pada pukul 3.30 pagi, 18 Oktober lalu.
Menerusi serbuan itu, polis berjaya menahan empat lelaki warga Bangladesh berusia 21 hingga 38 tahun selain merampas rokok dan lapan buah kenderaan bernilai keseluruhan lebih RM1 juta.
Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohammad Mashdik Yahya berkata, penggunaan peralatan itu menunjukkan kelicikan sindiket untuk terus berevolusi bagi memastikan kelancaran operasi haram mereka.
“Hasil serbuan di Sungai Buloh mendedahkan taktik licik sindiket termasuk penggunaan peranti jammer dan scanner untuk mematahkan perancangan dan operasi polis.
“Namun, kita sentiasa bersedia termasuk mempunyai peralatan yang lebih canggih dalam mengatasi peranti digunakan suspek,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati keempat-empat suspek tersebut bukan sahaja bertindak sebagai pemunggah, malah penghantar rokok-rokok yang telah ditentukan sindiket di sekitar Lembah Klang.
Jelasnya, mereka menerima upah antara RM100 hingga RM200 bergantung kepada kuantiti barang.
“Mereka ini buruh kontrak dan memasuki negara ini sejak tahun lalu. Penyertaan mereka lebih kepada mencari wang tambahan bagi menyara kehidupan.
“Justeru, kita lihat sindiket kini menggunakan tenaga kerja asing yang terdesak memerlukan wang sebagai ‘frontline’ operasi mereka,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan kegiatan sindiket mengupah buruh kontrak warga asing sebanyak RM200 bagi kerja-kerja pemunggahan rokok seludup terbongkar menerusi serbuan di sekitar Sungai Buloh, bulan lalu.
















