KUALA NERUS – Gumpalan rumpai laut yang boleh menyebabkan kegatalan, pening dan loya dikesan kembali terdampar di pesisir pantai daerah ini berikutan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) sejak kelmarin.
Tinjauan Kosmo! hari ini mendapati Pantai Tok Jembal berhampiran kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini antara lokasi rumpai laut terdampar dipercayai dibawa arus ombak.
Ketua Pusat Rujukan & Repositori UMT (RRC-UMT), Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin berkata, sebelum ini, rumpai laut daripada spesies Ceramiales sama pernah ditemui terdampar di pesisir pantai sekitar daerah ini pada musim tengkujuh 2003 dan 2016.
“Rumpai laut itu berwarna merah serta ciri-cirinya halus, pendek lembut namun sukar putus. Ia ditolak ke pesisir pantai oleh angin kencang, arus pesisir dan gelombang kuat dari dasar laut bermula tempoh peralihan MTL,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Hafiz berkata, rumpai laut tersebut mampu menghasilkan gas toksik hidrogen sulfida yang menyebabkan pening dan loya.















