LANGKAWI – Ramai etnik Rohingya sanggup menggadai nyawa meredah lautan kerana terpengaruh dengan gambaran positif kehidupan komuniti mereka yang telah lama menetap di Malaysia.
Pakar kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, gambaran tersebut diperoleh menerusi cerita dari mulut ke mulut, pesanan WhatsApp dan media sosial.
“Media sosial menjadi saluran utama bagi migran mendapatkan maklumat sama ada benar atau tidak tentang peluang pekerjaan, keselamatan dan sokongan komuniti yang tersedia di Malaysia.
“Apabila mereka melihat ahli keluarga atau kenalan berkongsi kehidupan yang kelihatan stabil di sini seperti bekerja, memiliki motosikal atau menghantar anak ke sekolah swasta atau kelas komuniti, ini mencetuskan harapan dan ilusi peluang hidup yang lebih baik,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, tarikan sosial itu sememangnya memainkan peranan besar dalam keputusan migran atau pelarian Rohingya untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama mereka.
Namun begitu, katanya, realiti sering tidak seindah gambaran apabila ramai juga yang akhirnya berdepan kesukaran besar termasuk ditahan, hidup dalam ketidaktentuan undang-undang dan bergelut untuk mendapatkan penjagaan kesihatan atau pendidikan untuk anak-anak.
“Bagaimanapun, selagi gambaran kehidupan lebih baik itu terus tersebar di media sosial, ia tetap akan menjadi tarikan utama kepada mereka yang sedang mencari jalan keluar daripada penderitaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor utama yang menjadikan Malaysia destinasi pilihan bagi migran atau pelarian Rohingya ialah gabungan aspek agama, ekonomi, keselamatan dan jaringan sosial sedia ada.
“Malaysia ialah negara Islam yang aman dan stabil menjadikannya lebih selesa dan mesra bagi pelarian beragama Islam seperti Rohingya.
“Ramai dalam kalangan mereka melihat Malaysia sebagai tempat di mana mereka boleh menjalani kehidupan dengan lebih bebas berbanding di Myanmar atau di kem pelarian di Bangladesh,” ujarnya.
Katanya, peluang pekerjaan dalam sektor tidak formal seperti pembinaan, perladangan dan perkhidmatan menjadi tarikan utama.
“Walaupun mereka tidak mempunyai status pelarian yang diiktiraf secara rasmi di Malaysia, ramai yang masih mampu mencari rezeki untuk menyara keluarga di sini atau di kampung halaman.
“Selain itu, komuniti Rohingya yang sudah wujud di Malaysia sejak puluhan tahun lalu memberi sokongan penting kepada pendatang baharu. Mereka membantu daripada segi tempat tinggal, pekerjaan, komunikasi dan perlindungan sosial. Kehadiran rangkaian ini memberikan jaminan awal kepada pelarian bahawa mereka tidak keseorangan,” jelasnya.
Menurutnya, Malaysia juga dilihat lebih terbuka daripada segi kemanusiaan berbanding negara lain di rantau ini.
“Walaupun kerajaan tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, Malaysia secara praktiknya sering memberikan ruang perlindungan sementara terutama dalam kes kecemasan seperti bot karam,” katanya.
Tambahnya, kekecewaan terhadap keadaan di kem pelarian Cox’s Bazar di Bangladesh seperti kesesakan, kekurangan bantuan dan gangguan keselamatan mendorong ramai mencari jalan keluar dan Malaysia dilihat sebagai destinasi paling realistik untuk mendapatkan kehidupan lebih baik.














