“JIKA diimbau apa yang saya lakukan kepada dia (bekas suami) beberapa tahun lalu, pasti timbul perasaan bersalah itu.
“Dia suami yang baik tetapi disebabkan dia ‘lembut’ dan tidak menepati ciri-ciri lelaki sejati yang saya idamkan, saya bertindak sampai kami bercerai.”
Itu kata-kata penyesalan yang keluar dari mulut Anna (bukan nama sebenar) tatkala berkongsi kepada K-Wanita mengenai kisah perceraiannya bersama suami.
Menurut anak jati Selangor itu, pernikahannya bersama lelaki lembut itu diatur sepenuhnya keluarga sejak dia berada di universiti lagi.
“Selepas habis belajar, saya bekerja di sebuah bank, dan ketika itu keluarga memperkenalkan saya dengan Qismatt (bukan nama sebenar) sebagai calon suami.
“Dia bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat ternama di ibu kota. Di awal perkenalan, saya memang tidak ada hati dengan dia.
“Hal ini kerana sifatnya yang begitu lemah lembut mengalahkan seorang wanita.
“Ibu bapanya rakan perniagaan kepada orang tua saya. Dari situlah keluarga kami merancang untuk menyatukan saya dengan Qismatt,” ujar wanita berusia awal 30-an itu.
Disebabkan Anna satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, dia ikutkan sahaja kemahuan ibu bapanya kerana tidak mahu bertelagah apatah lagi dicop anak derhaka.
Urusan pernikahan semuanya diuruskan oleh ahli keluarga, dan majlis diadakan dengan begitu meriah di sebuah hotel terkemuka.
“Sejak hari pertama kenal sehingga sah menjadi isteri, saya memang tiada hati dan ‘geli’ dengan Qismatt.
“Saya memang tak boleh bersama Qismatt, apatah lagi hidup dengannya.
“Saya ada beritahu keluarga sebelum ini, namun emak dan ayah meyakinkan saya bahawa Qismatt seorang yang baik. Lembut itu cuma sifat semula jadinya,” ujarnya.
Menurut Anna, sejak bernikah, mereka tidak pernah tinggal sebilik apatah lagi ‘bersama’.
Ujarnya, dia berasa rimas dengan sifat suaminya yang lemah lembut, bercakap perlahan dan jalan berlenggang.
“Pun begitu, suami langsung tidak pernah memarahi saya. Dia siap berpesan kepada saya supaya menerimanya sebagai suami seadanya.
“Pada saya, dia cakap memang senang, namun hati saya bagaimana. Kalau ada 10 pintu hati, satu pintu pun tak pernah terbuka untuk dia,” katanya.
Menginjak dua tahun usia perkahwinan, kedua-dua belah keluarga sudah mula bertanyakan mengenai zuriat.
Ujar Anna, bagaimana mahu datang zuriat kalau dia langsung tidak pernah ‘bersama’ dengan suaminya.
“Suami selalu beritahu bahawa dia sudah bersedia menimang cahaya mata. Dia juga sering pujuk saya untuk tidur sebilik.
“Namun saya memang geli dan tidak boleh berbuat demikian. Saya berbuih mulut beritahu dia perkara itu.
“Saya ada juga beritahu suami bahawa saya memang tidak pernah cintakannya.
“Saya memang geli dengan lelaki lembut sejak dulu lagi. Saya kahwin pun sebab mahu puaskan hati orang tua kerana tidak mahu mereka kecewa,” katanya.
Akui Anna, dia juga pernah bersikap kurang ajar kepada suaminya kerana pernah menggelarkan lelaki itu dengan bermacam-macam gelaran.
“Sotong kurita, jeli lembut, bapuk lenggang dan macam-macam nama lagi. Saya juga pernah gelarkan suami pondan, dan dia tahu mengenainya,” kata Anna.
Ujar Anna, biasanya, dia tiada di rumah pada waktu malam kerana lebih banyak menghabiskan masa bersama teman lelaki usai habis kerja.
“Dia (suami) langsung tidak pernah marah, apatah meninggikan suara kepada saya. Dia rela tunggu sampai pukul 12 tengah malam untuk pastikan saya selamat sampai ke rumah,” katanya.
Disebabkan enggan memujuk hati menerima kehadiran suami bukan pilihannya itu, Anna pernah beberapa kali minta dilepaskan oleh Qismatt.
Pun begitu, suaminya enggan berbuat demikian sampailah satu kejadian buruk berlaku sehingga menyebabkan Qismatt kehilangan upaya dan disahkan cacat kekal.
“Selepas terjadinya insiden demikian yang menyebabkan dia lumpuh, saya cepat-cepat failkan perceraian dengan alasan suami tidak boleh bekerja untuk sara isteri.
“Urusan perceraian kami berjalan lancar di Mahkamah Syariah. Selepas bercerai, suami saya dijaga oleh ahli keluarganya di kampung.
“Namun sejak kejadian itu, saya sering kali dihambat rasa bersalah.
“Apa yang saya mahukan selama ini (cerai) akhirnya terjadi jua.
“Kadangkala, saya terfikir sebab saya jadi begitu jahat, dan berkelakuan aneh terhadap suami sendiri,” ungkapnya dalam nada kesal.














