Orang ramai memenuhi pasar raya ketika pemberian bantuan Sara one off baru-baru ini.

BAP RM150 bulan Disember, Sara RM100 dapat Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tahun depan agak istimewa bagi anak-anak yang masih bersekolah apabila pembukaan sesi baharu hampir kembali asal iaitu pada Januari setelah hampir tiga tahun kita sesi baharu bermula bulan Mac.

Walaupun bukan 1 Januari 2026 tetapi pada 11 Januari, itu sudah menunjukkan keadaan sudah kembali asal setelah peralihan ketika pandemik Covid-19. Itu bermakna mungkin Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga akan diawalkan iaitu pada bulan Disember ini.

Setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi tarikh sebenar pemberian bantuan itu tetapi jika ikutkan sifir tahun lalu, ia diberikan sebelum tutup sesi persekolahan bagi memudahkan ibu bapa membeli keperluan anak sebelum sesi baharu dibuka.

Itu bermakna bulan Disember 2025 sebelum tutup sesi tahun ini adalah waktu sesuai pemberian BAP kerana hari terakhir sesi persekolahan tahun ini pada 19 Disember ini.

BAP sebanyak RM150 paling dinanti kerana ramai ibu bapa sudah boleh membuat persiapan persekolahan anak-anak, termasuk membeli pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis yang kini semakin mahal harganya.

Langkah mempercepatkan agihan sebelum tahun baharu dilihat amat tepat kerana ia membantu keluarga membuat perancangan awal tanpa perlu menunggu sehingga Januari.

Dalam masa sama, ibu bapa juga boleh tersenyum lebar apabila menjelang Ramadan pula pengagihan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas diawalkan pemberian kepada Februari depan.

Kedua-dua bantuan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kewangan yang ditanggung rakyat, terutama dalam suasana ekonomi peribadi yang sentiasa turun naik.

Tidak dinafikan, setiap kali tiba hujung tahun, rakyat berdepan pelbagai keperluan dengan bayaran yuran sekolah, keperluan rumah, malah persediaan menyambut tahun baharu dan Ramadan tidak lama lagi.

Bantuan yang diberikan kerajaan bukan sekadar ‘duit tambahan’, tetapi sebenarnya suntikan sokongan untuk membantu keluarga menampung keperluan asas anak-anak dan diri sendiri.

Sikap kita sebagai penerima bantuan juga penting. Bantuan ini seharusnya digunakan dengan bijak, bukan dijadikan alasan untuk berbelanja sesuka hati.

Dalam suasana penuh promosi jualan akhir tahun, 12.12, Black Friday dan Year End Sale, ramai mudah terpengaruh dengan tawaran diskaun yang kelihatan menarik. Tapi perlu diingat, tidak semua keperluan itu benar-benar perlu.

Jangan pula bantuan persekolahan anak-anak ‘lesap’ di kedai pakaian, gajet atau barangan mewah yang hanya memuaskan nafsu membeli. Gunakanlah wang itu untuk tujuan asal, demi masa depan pendidikan anak-anak.

RM150 mungkin tidak besar jumlahnya tetapi jika mempunyai anak lebih seorang jumlahnya boleh buat kita kelabu mata, jadi belanja dengan bijak untuk keperluan sekolah seperti kasut, buku dan kelengkapan asas lain.

Selesaikan keperluan anak-anak terlebih dahulu selebihnya bolehlah pergi bercuti atau Year End Sale.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN