fbpx
Sektor perladangan minyak sawit memerlukan lebih banyak penglibatan anak muda. – Gambar hiasan

Usaha bangun sistem digital ala e-hailing urus sektor perladangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETANDUSAN penglibatan golongan belia tempatan dalam sektor perladangan mencetuskan kebimbangan meskipun industri sawit dan getah merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara.

Situasi itu dilihat sebagai cabaran kritikal apabila pekerjaan di ladang dianggap kurang menarik bagi generasi muda dan menolak peluang dalam lapangan pekerjaan 3D (kotor, bahaya, sukar).

Bagi membantu mengatasi masalah itu Presiden Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan (NASH), Adzmi Hassan, menyarankan agar sistem gig berasaskan teknologi dapat diperkenalkan.

Kaedah tersebut dilihat mampu menarik minat mereka selain bersesuaian dengan gaya hidup masa kini sekali gus menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi sektor perladangan sawit.

“Zaman sekarang ini ramai anak muda tertarik dengan pekerjaan yang tidak terlalu bergantung kepada majikan seperti dipantau, mengikut arahan mahupun terikat dengan waktu atau masa.

“Disebabkan itu, sistem gig ini sangat sesuai kerana bukan sahaja fleksibel dari segi masa dan lokasi tetapi tidak terikat dengan komitmen majikan.

“Sekiranya sistem seperti ini diperkenalkan, kita akan melihat penglibatan anak muda sama seperti industri e-hailing yang mampu menarik minat mereka,” katanya kepada K-Tekno ketika ditemui di sidang media sempena Persidangan Meja Bulat Tahunan Minyak Sawit Lestari (RT2025) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah beliau, pendekatan tersebut masih dalam proses pembangunan melalui kerjasama dengan syarikat teknologi terkenal untuk membangunkan sistem digital yang dapat membantu pengurusan ladang sawit secara efisien menggunakan teknologi moden.

“Sistem ini dapat membantu pekebun kecil memantau operasi ladang secara hibrid sambil melakukan pekerjaan harian secara fleksibel dan mereka bebas menentukan waktu bekerja mengikut kesesuaian sendiri.

ADZMI (kanan) bersama pihak RSPO dan ASB menandatangani MoU memfokus peningkatan daya tahan pekebun kecil dan kesediaan digital di RT2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Selain mengikut gaya hidup anak muda masa kini, cara ini boleh menggalakkan minat mereka untuk terlibat dalam sektor perladangan,” katanya.

Ujarnya lagi, kaedah seperti ini sama seperti model ekonomi gig menerusi bidang e-hailing dan p-hailing yang boleh dikatakan dimonopoli oleh golongan muda.

“Lihat saja bagaimana perkhidmatan e-hailing dapat berkembang pesat dan menjadi pilihan utama belia sehinggakan ada sebahagian menjadikan itu sebagai pekerjaan utama.

“Andai kita menggunakan pendekatan serupa, saya yakin sistem ekonomi gig ini juga dapat menarik minat mereka dan digunakan untuk industri perladangan sawit,” katanya.

Tidak hanya memberi fokus kepada sistem digital, Adzmi turut mengharapkan agar penglibatan golongan muda turun padang bagi mengenal pasti permasalahan di ladang.

“Kita boleh lihat banyak teknologi robotik cuba dibangunkan oleh pelajar universiti, tetapi perkara itu kurang dilakukan oleh pekerja atau pemilik ladang itu sendiri.

“Disebabkan itu kita perlu pergi ke lapangan untuk mengenal pasti perubahan yang boleh diguna pakai tidak mengira sama ada ketika menuai hasil, penjagaan tanaman atau urusan logistik,” katanya tentang projek perintis sistem terbabit dijangka dilaksanakan seawal tahun depan.

Dalam pada itu, RT2025 yang berlangsung pada 3 November hingga 5 November lalu mengupas cabaran dalam memastikan kelestarian tanaman sawit menerusi forum dan dialog. Antara tajuk forum ialah Mengapa Kita Perlukan Gaji Berpatutan?, Daripada Komitmen kepada Tindakan: Hubungan Alam & Iklim dan Membina Kredibiliti & Respons Perniagaan.

Acara sama turut menyaksikan kesepakatan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) bersama Asia School of Business (ASB) melalui Pusat Pemilik Kecil Mampan (CSS) dan NASH menerusi perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU).

Kerjasama tersebut memberi fokus kepada peningkatan daya tahan pekebun kecil melalui latihan, kesediaan digital dan pembiayaan lestari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN