PENGENDALI Selangor FC, Christophe Gamel berharap barisan pemain dapat kembali pulih daripada aspek mentaliti dan tidak ‘koyak’ menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA bertemu Sabah FC malam ini.
Gergasi Merah terdesak untuk memulihkan reputasi yang tercalar selepas dimalukan apabila tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tanpa meraih sebarang kemenangan.
Prestasi merosot pasukan menyaksikan penyokong setia Merah Kuning melakukan protes di perkarangan Stadium MBPJ selepas tewas 2-3 kepada Persib Bandung pada Khamis lalu.
Menurut Gamel, tumpuan kini terarah kepada peringkat domestik dengan misi membantu pasukan mara ke final Piala FA buat tahun kedua berturut-turut.
“Saya harap pemain dapat bangkit semula daripada kekalahan lepas supaya tidak lagi kecewa ketika bertemu Sabah nanti.
“Apa yang berlaku ketika bertemu Persib adalah sesuatu di luar jangkaan tetapi inilah hakikat yang perlu kita terima.
“Saya mula bimbing pasukan ini sejak sebulan lalu dan jelas kita tidak seimbang kerana ramai pemain yang disisihkan ekoran kecederaan.
“Namun, saya percaya pemain yang diberikan peluang dapat berikan yang terbaik untuk memburu keputusan positif nanti,” kata pengendali dari Perancis itu.
Gergasi Merah merupakan finalis Piala FA musim lalu tetapi tewas memalukan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kali terakhir Selangor menang trofi Piala FA pada edisi 2009 dengan menewaskan Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti. – KOSMO! ONLINE














