KUALA KANGSAR – Kedudukan kewangan negeri Perak terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila kutipan hasil negeri mencecah RM1.1 bilion setakat 7 November lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian itu sekali gus meletakkan kerajaan negeri di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran RM1.4 bilion bagi tahun ini.
Katanya, berdasarkan taksiran semasa, kerajaan negeri dijangka dapat menutup unjuran defisit sebanyak RM81.8 juta seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025.
“Dengan perkembangan ini, negeri Perak akan merekodkan lebihan atau surplus untuk empat tahun berturut-turut, sekali gus menjadi petanda bahawa hasil dan perbelanjaan negeri diurus secara cekap dan berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di Bukit Chandan, di sini hari ini.
Menurut Saarani, ekonomi negeri Perak turut menunjukkan momentum pertumbuhan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat peningkatan kepada 4.4 peratus atau RM86.2 bilion pada tahun 2024 berbanding 2.7 peratus atau RM82.6 bilion pada tahun 2023.
Beliau berkata, pertumbuhan itu disokong oleh kekuatan berterusan sektor utama ekonomi negeri khususnya perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing menyumbang 63.3 peratus dan 19.4 peratus kepada keseluruhan ekonomi negeri. – KOSMO! ONLINE














