fbpx
Gambar hiasan

Bot bawa 90 PATI didakwa karam, satu mayat wanita Rohingya ditemukan di perairan Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Sebuah bot yang dikatakan membawa antara 90 hingga 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa karam dengan satu mayat wanita etnik Rohingya ditemukan di perairan ini petang tadi.

Enam lagi PATI terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh dijumpai dalam keadaan selamat selepas hanyut di perairan ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9 pagi tadi. “Terdapat sebuah kapal dagang yang menyelamatkan tiga lelaki Myanmar yang ditemukan hanyut sebelum diserahkan kepada polis.

“Mereka mendakwa telah berlayar dari Myanmar sejak sebulan lalu dengan menaiki kapal besar bersama kira-kira 300 orang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Katanya, pada sebelah petang tadi pula, tiga lagi ditemukan terdiri daripada dua lelaki etnik Rohingya dan seorang Bangladesh.

“Mereka pula mendakwa menaiki kapal bersama 300 orang sebelum dipecahkan kepada tiga bot kecil dengan satu bot membawa antara 90 hingga 100 orang ketika menghampiri sempadan.

“Dipercayai hanya satu bot yang karam di laut, manakala keberadaan dua lagi bot belum dapat dipastikan.

“Lokasi karam masih dalam siasatan, ada kemungkinan berlaku di perairan Thailand sebelum hanyut ke perairan negara. Apa pun, kita masih menyiasat apa sebenarnya yang berlaku,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang menjalankan siasatan lanjut dengan pemantauan serta rondaan di laut giat dilakukan.

Sementara itu, katanya, setiap warga asing terbabit dipercayai membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket dengan ada antara mereka terpaksa menjual tanah, rumah dan haiwan ternakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN