WASHINGTON – Kebimbangan mengenai tahap kesihatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semakin meningkat selepas beliau dilihat tertidur semasa program siaran langsung sebuah stesen televisyen di Pejabat Oval, White House, lapor laman berita Daily Star semalam.
Ketika itu, pegawai kesihatan sedang menyampaikan taklimat tentang cadangan untuk mengurangkan kos ubat menurunkan berat badan.
Namun, Trump yang kelihatan mengantuk bersandar di kerusinya di belakang meja dan dilihat seolah-olah tertidur dan terjaga berulang kali.
Walaupun mata Trump kelihatan sedikit terbuka, beliau berkelip dengan perlahan dan menyandarkan kepalanya pada kerusi, manakala para pegawai berdiri mengelilinginya.
Tindakan itu membuatkan penonton di saluran televisyen C-SPAN tertanya-tanya sama ada beliau sebenarnya sedang berjaga.
Sebelum ini, beberapa pakar perubatan pernah menyatakan bahawa Trump mungkin pernah mengalami strok.
Seorang penonton memberi komen: “Apabila Joe (Biden, bekas Presiden AS) kelihatan mengantuk, semua orang marah. Tetapi, bila Donald (Trump) tertidur semasa siaran langsung di televisyen, terus dianggap langkah bijak! Berpura-pura tidur di depan jutaan penonton memang akan benar-benar membuat golongan liberal marah!”
Seorang lagi penontoh berseloroh dengan berkata: “Beliau berdengkur sepanjang sidang akhbar itu.” – AGENSI














