PETALING JAYA – Sebanyak 2,500 belia berkemahiran Malaysia bakal menikmati peluang keemasan untuk menjalani latihan dan penempatan kerja bersama syarikat China menerusi Program SIYUAN Skill Advancement & Employment (SAEP) bernilai RM12.5 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu merupakan antara hasil utama kerjasama strategik Malaysia–China dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta industri masa hadapan yang dilihat bakal membuka lembaran baharu kepada tenaga kerja muda negara.
“Melalui SAEP, belia Malaysia bukan sahaja akan diberi latihan kemahiran bertaraf antarabangsa, malah turut berpeluang bekerja dengan syarikat gergasi China yang beroperasi di negara kita. Ini langkah penting memperkukuh daya saing tenaga kerja tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Kerjasama Pendidikan Industri–TVET Antarabangsa Malaysia–China ke-2 dan Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia–China ke-4 di Shanghai Technical Institute of Electronics & Information sempena hari terakhir lawatan kerja beliau ke Shanghai.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa Institut Guangqi akan dijadikan hab latihan bersama Malaysia-China, dengan pelaburan latihan bernilai RM10 juta untuk 500 pelajar, tenaga pengajar dan pekerja industri.
Selain itu, beliau melancarkan Malaysia-China TVET Industry-Education Alliance (MC-IEA) dengan co-funding RM10 juta, membabitkan 15 institusi TVET China dan beberapa syarikat besar bagi memperkukuh ekosistem “Train–Intern–Job Placement” antara kedua-dua negara.
“Kerjasama ini juga disokong dengan pelaksanaan dual certification di bawah China Global Professional and Technical Certification Center (CGPTC), yang menyasarkan 2,000 tenaga mahir Malaysia diiktiraf bertaraf antarabangsa menjelang 2026,” tambahnya.
Ahmad Zahid menegaskan, usaha ini bukan sekadar pertukaran ilmu, sebaliknya pelaburan masa depan untuk memperkasa modal insan dan memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam sektor industri global.-KOSMO! ONLINE.














