BINTANG maraton negara, Muhaizar Mohamad menerima dengan hati terbuka keputusan tidak tersenarai ke Sukan SEA Thailand bulan depan selepas pemilihan atlet dibuat berdasarkan kriteria baharu oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurutnya, hanya seorang pelari maraton iaitu Yeow Ni Jia dipilih mewakili negara menerusi tiket B selepas dirinya tidak layak kerana berada di tangga ketujuh ranking Asia.
“Untuk Sukan SEA kali ini, hanya Ni Jia layak menerusi tiket B kerana dia di ranking keenam Asia. MSN ambil tiket A untuk ranking satu hingga tiga dan tiket B pula empat hingga enam. Jadi bila saya di tempat ketujuh, memang tak layaklah,” jelasnya.
Muhaizar yang pernah meraih pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019 sedikit terkejut dengan perubahan kriteria kelayakan yang kali pertama diperkenalkan.
“Sebelum ini, siapa yang capai podium di Sukan SEA lepas akan terus dikira tiket A. Tapi tahun ini tiba-tiba MSN ubah syarat. Memang pertama kali berlaku,” jelasnya.
Bagaimanapun, pelari berusia 40 tahun itu menegaskan tidak kecewa dengan keputusan berkenaan, sebaliknya mahu memberi ruang kepada pelari muda untuk menyerlah.
“Saya dah tiga kali beraksi di Sukan SEA dan dah merasa semua pengalaman itu. Jadi kali ini saya rasa elok juga beri peluang kepada adik-adik macam Ni Jia untuk naik,” ujarnya.
Pemenang pingat emas Sukan SEA terdahulu pada edisi Kemboja 2023 dimenangi Agus Prayogo dari Indonesia dengan masa dua jam 32 minit 59 saat diikuti atlet Filipina, Arlan Arbois di tempat kedua (2:33:27s) dan pelari Vietnam, Hoang Nguyen Thanh (2:35:49s). – KOSMO! ONLINE














