KEINDAHAN gerak tari Malaysia sekali lagi mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila pasukan ALAM Malaysia muncul pemenang Anugerah Emas (Gold Prize) dalam kategori berkumpulan pada Andong International Maskdance Festival 2025 di Korea Selatan.
Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju seni persembahan Asia di mata dunia.
Festival yang berlangsung dari 26 September hingga 5 Oktober lalu di kota budaya, Andong itu menghimpunkan kumpulan seni dari lebih 20 negara termasuk New Zealand, Amerika Syarikat, Indonesia, Jepun, Turkiye dan Lithuania.
Dikenali sebagai antara festival bertopeng paling berprestij di dunia, acara anjuran Korea Spiritual Culture Foundation tersebut menjadi medan pertemuan budaya dan warisan yang menonjolkan kepelbagaian ekspresi manusia melalui seni tari serta teater.
Menurut Ketua Pasukan dan Koreografer ALAM Malaysia, Amandus Paul Panan, pasukannya memukau juri antarabangsa menerusi karya berjudul, Ātma Mukha: The Dancing Mask Searching for Its Many Faces.
“Karya ini merupakan sebuah persembahan yang menggabungkan tarian, teater dan falsafah spiritual dalam satu naratif yang puitis.
“Ia menampilkan enam watak utama iaitu Rama, Laksmana, Siti Dewi, Hanuman, Jentayu dan Rawana.
“Masing-masing mewakili dimensi emosi dan nilai kemanusiaan seperti kasih, kesetiaan, tanggungjawab serta amarah,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, melalui permainan simbolik topeng dan bahasa tubuh yang ekspresif, karya tersebut menyingkap perjalanan jiwa manusia dalam mencari makna dan kebenaran diri.
Setiap pergerakan diolah penuh emosi, sekali gus menjadikan persembahan itu bukan sekadar tontonan.
Sebaliknya, ia menjadi pengalaman rohani yang menyentuh hati penonton daripada pelbagai latar budaya.
Selain Anugerah Emas bagi kategori berkumpulan, ALAM Malaysia turut menerima Anugerah Gangsa (Bronze Prize) bagi kategori individu melalui persembahan Hanuman: Searching the Human Within, sekali gus mencatat kejayaan berganda buat negara.
Keunikan persembahan ALAM Malaysia terletak pada keupayaan menggabungkan warisan seni Nusantara dengan eksperimen kontemporari.
Busana diinspirasikan daripada mitologi Asia Tenggara, irama muzik yang mengadun bunyi alat tradisional dengan komposisi moden, selain permainan cahaya dramatik menjadikan persembahan kumpulan itu cukup memukau dari segi visual dan spiritual.
Kongsi Paul Panan lagi, kemenangan itu merupakan hasil cinta terhadap seni tari dan usaha berterusan membawa warisan budaya tempatan ke pentas global.

“Kami datang bukan untuk menyaingi, tetapi ingin berkongsi kisah tentang siapa kita melalui bahasa universal iaitu gerak tari.
“Ātma Mukha bukan sekadar persembahan tetapi ia adalah cerminan jiwa manusia dan warisan budaya yang kita bawa ke hadapan dunia,” jelasnya dengan penuh rasa bangga.
Dia turut menyatakan bahawa kejayaan itu didedikasikan kepada seluruh warga seni tanah air yang percaya pada kekuatan budaya Malaysia sebagai medium komunikasi sejagat.
Sejak diperkenalkan lebih dua dekad lalu, Andong International Maskdance Festival menjadi antara acara seni paling berpengaruh di Korea Selatan.
Kota Andong yang sinonim dengan tradisi topeng dunia menjadi pusat pertemuan budaya Timur dan Barat sehingga berjaya menarik ribuan pengunjung serta penggiat seni dari seluruh dunia.
Pencapaian hebat ALAM Malaysia pada tahun ini turut disokong oleh beberapa rakan kolaborasi tempatan seperti Choctop, One Drop Perfumes dan Behati yang mempercayai potensi seni tempatan untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.
















