SETIAP ibu bapa pasti pernah berhadapan dengan situasi anak-anak mula batuk, bersin dan demam.
Ramai menyangka ia hanya masalah biasa, namun tanpa disedari simptom yang kelihatan ringan itu boleh menjadi tanda kepada jangkitan influenza.
Ketika ini, jangkitan influenza dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia dilaporkan semakin meningkat.
Malah sebelum ini, ada kanak-kanak yang meninggal dunia kerana dijangkiti influenza.
Konsultan Pediatrik dan Pakar Kanak-Kanak di Columbia Asia Hospital Setapak, Dr. Chin Sheau Yin berkata, simptom awal influenza pada kanak-kanak termasuk demam suhu tinggi iaitu melebihi 38.5 darjah Celsius, batuk, sakit tekak dan selesema.
Menurutnya, kanak-kanak juga akan mengalami sakit kepala, sakit otot dan keletihan yang melampau.
“Simptom ini akan menyebabkan sesetengah kanak-kanak kurang selera makan yang memberi risiko dehidrasi.
“Sekiranya kanak-kanak tidak mendapat rawatan awal, influenza boleh menyebabkan demam suhu tinggi. Lantas, kanak-kanak berisiko mendapat sawan demam terutama mereka yang berumur enam tahun ke bawah,” katanya.
Tambahnya, influenza juga boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan kuman paru-paru (pneumonia), radang dalam jantung dan otak sehingga boleh mengancam nyawa.
Kebanyakan kanak-kanak akan pulih sepenuhnya apabila dijangkiti influenza.
Walaupun begitu, sesetengah kanak-kanak boleh mengalami komplikasi terutama mereka tidak menerima vaksin influenza, tidak dirawat awal atau kanak-kanak mempunyai daya tahan tubuh rendah.
Ada sesetengah ibu bapa beranggapan bahawa influenza sama seperti selesema biasa.
Mengulas akan hal tersebut, Dr. Chin berkata, influenza dan selesema biasa sering disalah anggap sebagai penyakit yang sama kerana kedua-duanya mempunyai gejala hampir serupa.
“Influenza biasanya menyerang secara tiba-tiba dan menyebabkan demam suhu tinggi, sakit kepala, sakit otot, keletihan yang teruk dan kurang selera makan.
“Gejala selesema pula lebih ringan dan bermula secara perlahan-lahan, dengan hidung tersumbat, bersin, sakit tekak serta batuk ringan.
“Demam yang berlaku biasanya demam suhu rendah,” terangnya.
Dalam menangani kadar jangkitan influenza dalam kalangan kanak-kanak, pemberian vaksin adalah penting.
Dengan pemberian vaksin, risiko kanak-kanak dijangkiti Influenza dapat dikurangkan.
Dr. Sheau Yin menjelaskan, vaksin amat penting terutama bagi kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik, penyakit jantung dan dilahirkan pramatang.
Lanjutnya, vaksin influenza dapat mencegah komplikasi penyakit yang berbahaya dan melindungi masyarakat daripada wabak penyakit itu.

“Kanak-kanak yang berusia enam bulan ke atas boleh menerima vaksin influenza.
“Bagi kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah, dua dos vaksin influenza diperlukan pada kali pertama menerima vaksin ini.
“Vaksin ini perlu diambil setiap tahun kerana virus influenza sentiasa berubah-ubah,” ujarnya.
Tambah Dr. Sheau Yin, vaksin baharu dikeluarkan pada setiap tahun untuk memastikan perlindungan yang lebih baik.
Dalam pada itu, untuk menangani influenza dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa juga memainkan peranan penting.
Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat vaksin influenza setiap tahun untuk melindungi mereka daripada jangkitan yang serius.
Dr. Sheau Yin berkata, ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak mengamalkan kebersihan diri seperti memakai pelitup muka di tempat awam, kerap mencuci tangan dan menutup mulut ketika batuk.
“Bagi kanak kanak yang tidak sihat, mereka dinasihatkan supaya tidak ke sekolah untuk mengelakkan penyakit ini merebak.
“Guru perlu memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih dan mempunyai pengudaraan yang baik.
“Kanak kanak perlu diingatkan supaya tidak berkongsi alat tulis, makanan dan minuman di sekolah,” katanya.
Sementara itu, kanak kanak yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, penyakit jantung, bayi pramatang atau sistem imun lemah, mereka lebih mudah dijangkiti penyakit influenza dan berisiko mengalami komplikasi serius.
Golongan tersebut sangat digalakkan mengambil vaksin influenza pada setiap tahun untuk melindungi mereka daripada penyakit itu.
Pada musim penyakit influenza, kanak-kanak dalam golongan itu perlu mengelakkan berada di tempat sesak atau berdekatan dengan individu sakit.
Pelitup muka sangat digalakkan apabila mereka pergi ke sekolah atau berada di tempat awam.
Dr. Sheau Yin menitip pesan, sekira kanak-kanak dijangkiti influenza, antara langkah awal yang perlu diambil adalah memberi ubat demam seawal mungkin, jika mereka demam.
Menurutnya, ia bagi mengelak demam suhu tinggi yang boleh menyebabkan sawan.
“Ibu bapa perlu memastikan anak mereka berehat secukupnya dan minum air yang banyak supaya badan tidak mengalami dehidrasi.
“Ibu bapa juga digalakkan untuk membawa anak berjumpa doktor lebih awal, dan menerima ubat antiviral bagi mempercepatkan proses pemulihan serta mengelakkan komplikasi serius,” jelasnya.
Tambahnya, kanak-kanak yang mempunyai penyakit influenza perlu diasingkan daripada orang lain bagi mengelakkan penularan virus.
















