fbpx
Rusdi menunjukkan contoh poster-poster kandungan penipuan dalam talian di platform media sosial pada sidang akhbar JSJK di sini hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Op Merpati Khas: 820 individu ditahan, kerugian RM11.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 820 individu ditahan dalam Op Merpati Khas 01/2025 yang dijalankan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian berasaskan e-dagang.

Operasi khas yang dijalankan dari 2 hingga 12 September lalu dilancarkan susulan peningkatan ketara kes penipuan e-dagang yang semakin membimbangkan dan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi berkenaan menyasarkan sindiket penipuan dalam talian termasuk pemilik akaun keldai yang menerima wang hasil penipuan, pencari kad mesin juruwang automatik akaun, pengeluar wang serta pihak yang mengendalikan pusat panggilan penipuan.

“Seramai 790 individu merupakan pemilik akaun keladai ditahan manakala 30 individu diberkas dipercayai terlibat secara langsung dalam mengendalikan pusat panggilan bagi aktiviti penipuan e-dagang di pelbagai negeri.

“Hasil pelaksanaan operasi ini, sebanyak 660 kertas siasatan dibuka di seluruh negara melibatkan kerugian berjumlah RM11.6 juta,” katanya pada sidang akhbar Semak Mule di Ibu Pejabat JSJK, hari ini.

Katanya, berdasarkan statistik pihaknya seramai 475 lelaki dan 315 wanita ditahan dalam operasi tersebut.

“Daripada jumlah itu, warga tempatan yang ditahan melibatkan 786 orang serta warga asing (empat),” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jenayah penipuan e-dagang telah mengakibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM54.1 juta melibatkan 4,242 kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Rusdi menegaskan, JSJK akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan risikan bagi mengekang aktiviti penipuan dalam talian, khususnya yang memanipulasi akaun keldai untuk menipu pengguna e-dagang di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI