PETALING JAYA – Seorang remaja didakwa murtad selepas diajak rakan permainan video dalam talian (online game) untuk meninggalkan agama Islam dan memeluk Kristian.
Menerusi perkongsian seorang pengerusi sebuah madrasah dikenali sebagai Ustaz James atau Tembisik Belantara pada hantaran Facebook, kejadian itu didakwa berlaku di Ipoh, Perak.
“Kawan di game online ajak pelajar Melayu Islam berumur 15 tahun keluar Islam dan masuk Kristian. Saya diminta pihak berkuasa agama untuk bantu kes murtad pelajar lelaki Melayu Islam tingkatan tiga.
“Anak ini mengucap kembali kalimah syahadah. Pertemuan pertama dan kedua, saya layan hampir 20 soalan anak ini tentang ayat-ayat perang dalam al-Quran untuk menunjukkan Islam agama yang ganas,” katanya pada hantaran itu.
Ustaz James berkata, remaja itu juga menghafal petikan ayat-ayat dalam Bible melalui internet dengan bantuan kawan-kawannya di permainan video dalam talian.
“Saya jawab kembali satu persatu melalui petikan Bible bahasa Ibrani sehingga dia baru tersedar kesilapannya mempercayai segala dakyah,” katanya.
Ustaz James berkata, selepas pertemuan kali ketiga itu, ibu bapa remaja tersebut lega anaknya sendiri mula meragui dakyah Kristian berkenaan.
“Air mata dan wajah lega. Dia dipengaruhi melalui online game, terus jahanamkan anak-anak kalian dengan telefon bimbit tidak terkawal dan game online,” katanya. – KOSMO! ONLINE














