Fenomena pelancongan domestik di Malaysia kebelakangan ini menunjukkan trend yang agak membimbangkan. Walaupun negara ini memiliki keindahan semula jadi yang menakjubkan seperti kepulauan tropika, hutan hujan tertua di dunia, warisan budaya dan sejarah beraneka, realitinya semakin ramai rakyatnya cenderung memilih destinasi di luar negara.
Negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Vietnam, bahkan China dan Korea Selatan kini menjadi tarikan utama bagi percutian rakyat negara ini.
Perubahan trend ini menimbulkan persoalan besar iaitu mengapa keghairahan bercuti dalam negara semakin pudar, walaupun Malaysia sendiri tidak kurang hebatnya sebagai destinasi pelancongan?
Salah satu faktor yang sering menjadi rungutan adalah soal kos. Ramai pelancong mendapati bahawa bercuti dalam negara kadangkala lebih mahal berbanding destinasi luar negara.
Contohnya, harga bilik hotel di sesetengah kawasan pelancongan utama seperti Kuala Lumpur, Langkawi, atau Kota Kinabalu kadangkala setara atau lebih tinggi berbanding hotel-hotel di negara jiran yang menawarkan perkhidmatan setaraf antarabangsa.
Begitu juga kos makanan dan minuman di kawasan tumpuan pelancong yang semakin meningkat, sehingga wujud persepsi bahawa rakyat Malaysia seolah-olah menjadi ‘pelancong kelas kedua’ di negara sendiri.
Tambang penerbangan domestik juga kerap melonjak terutama pada musim cuti sekolah, menjadikan pilihan ke luar negara lebih menarik kerana syarikat penerbangan tambang murah kerap menawarkan promosi yang lebih kompetitif.
Selain kos, faktor value for money (nilai untuk wang) turut mempengaruhi keputusan rakyat Malaysia untuk menentukan lokasi bagi aktiviti pelancongan. Dengan kemudahan teknologi seperti aplikasi pelancongan, laman web perbandingan harga, serta kecerdasan buatan (AI), rakyat Malaysia kini lebih mudah menilai kelebihan dan kekurangan sesuatu destinasi.
Dengan bajet sama, mereka boleh mendapatkan pengalaman baharu di luar negara dengan melihat budaya asing, mencuba makanan eksotik atau menikmati peluang membeli-belah pada harga lebih murah.
Faktor ini menjadikan destinasi luar lebih menggoda, walaupun jarak perjalanan lebih jauh dan wujud sedikit kerugian dalam kadar pertukaran mata wang.
Perkhidmatan
Di samping itu, terdapat juga isu berkaitan persepsi kualiti perkhidmatan. Terdapat banyak rungutan daripada pelancong tempatan mengenai layanan kurang mesra, tahap kebersihan yang tidak konsisten dan kurangnya inovasi dalam produk pelancongan setempat. Sesetengah lokasi masih menawarkan tarikan yang sama dari tahun ke tahun tanpa penambahbaikan.
Situasi ini menyebabkan rasa jemu dan kurang teruja untuk kembali ke destinasi yang sama. Berbeza dengan sesetengah destinasi luar negara yang giat memperkenalkan produk baharu seiring dengan musim yang berbeza, festival kebudayaan berskala besar dan pengalaman unik yang tidak mudah dilupakan.
Kesan daripada trend ini tidak boleh dipandang ringan. Industri pelancongan dalam negara merupakan nadi ekonomi kepada banyak komuniti setempat.
Jika pelancong domestik semakin berkurangan, pengusaha kecil seperti pemilik homestay, pemandu pelancong, penjaja makanan, dan peniaga cenderamata akan terjejas. Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka baru sahaja pulih daripada kesan pandemik Covid-19.
Selain menjejaskan pendapatan individu, trend ini juga memberi kesan makroekonomi. Apabila rakyat Malaysia lebih gemar berbelanja di luar negara, aliran mata wang asing meningkat keluar, sekali gus melemahkan kekuatan ringgit dalam jangka panjang.
Fenomena pengaliran keluar wang ini memberi implikasi besar kerana ia bukan sahaja mengurangkan potensi pertumbuhan ekonomi domestik, tetapi juga menghambat pembangunan infrastruktur pelancongan tempatan yang memerlukan sokongan kewangan berterusan.
Lebih luas lagi, penurunan pelancong domestik boleh mengurangkan identiti dan rasa bangga rakyat terhadap warisan budaya dan keindahan alam sendiri. Jika generasi muda lebih mengenali pantai Phuket, Thailand berbanding pantai di Terengganu, atau lebih teruja ke taman tema di Singapura berbanding lawatan ke Taman Negara Pahang, ini memberi isyarat nilai pelancongan tempatan tidak lagi dihargai sepenuhnya.
Penyelesaian
Situasi ini memerlukan langkah strategik yang lebih proaktif. Pertama, kerajaan dan penggiat industri pelancongan perlu menilai semula struktur harga yang ditetapkan oleh sesetengah pengusaha dalam sektor pelancongan.
Harga makanan di kawasan tumpuan termasuk pesta dan karnival, wajar dikawal supaya lebih berpatutan. Tindakan tegas harus diambil terhadap pengusaha yang mengenakan caj berlebihan kerana persepsi ‘harga cekik darah’ akan melemahkan kepercayaan pelancong tempatan.
Kedua, pengusaha tempatan perlu memperkaya pengalaman pelancongan. Malaysia sebenarnya memiliki potensi besar dalam segmen ekopelancongan, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, serta acara kebudayaan dan sukan berskala besar.
Dengan memperkenalkan aktiviti yang unik dan segar seperti festival muzik antarabangsa, pameran seni moden, atau pakej rawatan kesihatan berasaskan herba tempatan, pelancong akan mempunyai lebih banyak sebab untuk bercuti dalam negara.
Ketiga, kempen promosi perlu lebih kreatif dan bersasar. Media sosial kini menjadi saluran utama, khususnya untuk generasi muda yang gemar membuat keputusan berdasarkan ulasan dan kandungan digital.
Pendekatan pemasaran yang lebih segar seperti penggunaan pempengaruh dari aplikasi media sosial, kandungan video pendek yang menarik, atau cabaran dalam talian boleh memberi impak lebih besar berbanding iklan tradisional.
Seterusnya, sektor pelancongan domestik juga perlu menitikberatkan aspek kemesraan layanan dan standard kebersihan, tertutamanya melibatkan pengendalian makanan.
Walaupun tarikan fizikal itu penting, pengalaman emosi pelancong lebih diingati. Jika pelancong merasa dihargai dan disambut dengan layanan ikhlas, kemungkinan besar mereka akan kembali dan mengesyorkan pengalaman tersebut kepada orang lain.
Secara keseluruhannya, minat rakyat Malaysia bercuti ke luar negara tidak wajar dianggap ancaman semata-mata. Sebaliknya, ia boleh dijadikan pemangkin untuk mentransformasikan sektor pelancongan domestik agar lebih berdaya saing.
Malaysia mempunyai segala kelebihan antaranya alam semula jadi yang mempesona, kepelbagaian budaya, dan kepakaran hospitaliti sejak turun-temurun. Apa yang perlu ialah kesungguhan untuk memperbaiki kelemahan dan menawarkan pengalaman yang benar-benar bernilai.
Jika langkah pembaharuan dilaksanakan dengan serius oleh semua pihak, pelancongan dalam negara bukan sahaja akan kembali mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, malah berpotensi menarik lebih ramai pelancong asing.
Akhirnya, ini akan mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang dihargai oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Dr. Faiz Masnan ialah pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
















