fbpx
Pemberian nafkah bukan soal pilihan, sebaliknya kewajipan yang perlu dipenuhi oleh setiap bapa. - GAMBAR JANAAN AI

Habis cinta, jangan lupa tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBELAKANGAN ini sering dilihat ramai wanita meluahkan sikap segelintir bapa yang melepaskan tanggungjawab sebaik sahaja lafaz cerai diucapkan.

Ramai yang menganggap berakhirnya ikatan perkahwinan bermakna tamat juga kewajipan terhadap anak dan bekas isteri sedangkan tanggungjawab itu kekal, bahkan menjadi lebih penting selepas perpisahan.

Justeru, pengumuman kerajaan baru-baru ini berkenaan penguatkuasaan terhadap bekas suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak dilihat sebagai tindakan yang amat dinantikan golongan ibu tunggal.

Pertubuhan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (PITIWPS) menyambut baik cadangan itu dengan harapan ia bukan sekadar retorik, tetapi disusuli pelaksanaan tegas seperti sitaan harta atau potongan gaji bagi mereka yang berkemampuan, namun enggan bertanggungjawab.

Pengerusinya, Rohana Abdul Wahab berkata, kegagalan membayar nafkah menyebabkan ramai wanita terpaksa menanggung kesan ekonomi dan emosi, terutama apabila perlu membesarkan anak-anak sendirian.

“Ada yang hanya bergantung kepada jualan kecil-kecilan seperti berniaga nasi lemak atau menjahit. Bila nafkah tak diberi, beban makin bertambah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Rohana berkata, pemberian nafkah bukan soal pilihan, sebaliknya kewajipan yang perlu dipenuhi oleh setiap bapa, selaras dengan tuntutan agama dan undang-undang.

“Kalau bekas suami betul-betul tak mampu, itu lain cerita. Tapi ramai sebenarnya yang mampu, cuma sengaja mengelak,” katanya.

Seorang ibu tunggal, dikenali sebagai Fatihah, 32, berkata, saranan kerajaan itu benar-benar memberi sinar kepada dirinya yang perlu menyara dua orang anak seorang diri selepas berpisah kira-kira tiga tahun lalu.

“Sudah tiga tahun bercerai, saya masih menunggu nafkah anak yang dijanjikan oleh bekas suami yang sepatutnya, dibayar sebanyak RM300 setiap seorang anak sebulan, namun bekas suami sering mengelak.

“Pada awalnya dia janji nak bagi setiap bulan, tapi lepas beberapa kali, terus senyap. Bila saya minta, dia kata saya dah kerja jadi tak perlu bergantung. Padahal duit gaji saya pun tak cukup nak bayar sewa dan sekolah anak,” katanya.

Fatihah berkata, tindakan tegas terhadap bekas suami culas nafkah bukan untuk menghukum, tetapi supaya mereka sedar tanggungjawab yang ditinggalkan.

“Kalau kerajaan betul-betul kuatkuasakan undang-undang ni, ramai ibu tunggal boleh hidup lebih tenang.

“Kami bukan minta simpati, cuma hak yang sepatutnya. Sebagai ibu sudah pasti saya boleh bekerja untuk sara anak-anak tapi saya tak boleh lakukan seorang diri,” katanya.

Justeru, cadangan kerajaan memperkukuh tindakan terhadap bekas suami culas nafkah perlu diterjemahkan segera dalam bentuk undang-undang yang praktikal dan berkesan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN