fbpx
ISU disiplin dan moral pelajar tidak seharusnya diletakkan di bahu guru, kementerian. - GAMBAR HIASAN

Jangan lepas tangan sekolah bukan tempat ‘mengasuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Beberapa minggu lalu, institusi pendidikan negara kita digemparkan dengan pelbagai insiden yang memilukan bermula dengan kes buli, kematian di sekolah, rogol berkumpulan sehinggalah paling tragis pembunuhan.

Ramai terkejut, ramai juga yang bersedih kerana kelakuan anak-anak di bangku sekolah ketika ini jauh melangkaui perbuatan zaman ‘kita’ di bangku sekolah dulu.

Seingat penulis, sewaktu belajar di salah sebuah sekolah berasrama dulu, paling ‘ekstrem’ kes buli yang berlaku adalah serkup sarung bantal di kepala dan pukul secara beramai-ramai.

Tetapi, itu pun mangsa tidak cedera sangat dan masih boleh meneruskan sesi persekolahan keesokan harinya, itu pun ramai yang ‘makan rotan’ guru disiplin dan ada yang dibuang sekolah.

Meskipun tiada kecederaan teruk dialami mangsa, namun tindakan disiplin ketika itu sangat ‘keras’ sehinggakan selepas itu tiada lagi kes ‘ekstrem’ berlaku di sekolah berkenaan.

Berbeza dengan situasi persekitaran sekolah pada masa kini, anak-anak bukan sahaja pandai memukul orang lain, tetapi sehingga boleh meragut nyawa rakan lain.

Dimanakah silapnya? Salah pihak sekolah atau pihak Kementerian Pendidikan kerana menghapuskan hukuman rotan dan terlalu berlembut dengan pelajar?

Bagi penulis, kesalahan ini bukan 100 peratus salah warga pendidik, tetapi ibu bapa juga perlu bertanggungjawab atas perkara ini, bagaimana cara didikan mereka di rumah, begitulah ‘peel’ anak-anak mereka di sekolah.

Jika ibu bapa tidak meluangkan masa dan berkomunikasi dengan anak-anak dengan membiarkan mereka ‘dibimbing’ oleh telefon bimbit, maka itulah ajaran yang mereka bawa ke sekolah.

Penulis percaya, beberapa kejadian yang berlaku di sekolah itu mempunyai hubung kait dengan pengaruh daripada media sosial dan aktiviti permainan dalam telefon bimbit.

Sebab itu, bagi penulis, setiap tragedi yang berlaku di sekolah, tidak seharusnya guru atau kementerian sahaja yang dipersalahkan, tetapi cuba ibu bapa muhasabah diri dan merenung kembali bagaimana cara kita ‘mengasuh’ anak di rumah.

Penulis juga bersetuju dengan perkongsian oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon yang menegaskan, adalah tidak wajar semua isu disiplin dan moral pelajar diletakkan pada bahu guru dan pihak sekolah semata-mata.

Jelas beliau, pendidikan bukan bermula di sekolah tetapi telah lama bermula di rumah.

“Sekolah hanya mengukuhkan pendidikan sedia ada murid yang telah terbentuk oleh ibu bapa dan keluarga.

“Ibu bapa harus kembali berinteraksi dan kerap berkomunikasi dengan anak supaya hubungan mesra sentiasa terjalin.

“Janganlah masing-masing buat hal sendiri hingga hilang kemesraan dalam keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat juga tidak boleh menambah beban guru dengan pelbagai teori atau cadangan baharu setiap kali berlaku insiden melibatkan pelajar.

Malah kata Fouzi, kejadian yang berlaku kebelakangan ini tidak seharusnya menambahkan tekanan kepada warga pendidik.

Fouzi juga mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menilai semula sistem pendidikan negara supaya lebih sesuai dengan keperluan semasa dan masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN