Gyokeres (kiri) dan Gabriel membuat gaya jaringan masing-masing ketika menentang Atletico minggu lalu.

‘Batman-Bane’ nadi kekuatan Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA siapa menjangkakan gaya jaringan Batman dan Bane serentak dalam satu padang seperti dilakukan oleh Gabriel Magalhaes dan Viktor Gyokeres minggu lalu.

Gaya jaringan Bane menjadi trademark Gyokeres sejak kali pertama dia menciptanya selepas meledak gol buat Coventry City menewaskan Swansea City 2-0 dalam aksi Liga Kejuaraan Inggeris di Coventry Building Society Arena pada 17 Disember 2022.

Bane adalah watak antagonis terkenal dari dunia DC Comics dibintangi oleh Tom Hardy dalam filem The Dark Knight Rises arahan Christopher Nolan pada 2012 yang dianggap musuh paling bijak dan strategik dalam sejarah Batman.

Ia kemudian tular di seluruh dunia disebabkan 97 jaringan Gyokeres di Portugal hingga Gabriel ‘mengejeknya’ dengan gaya Batman seakan-akan penyelamat hadir menenangkan keadaan ketika meledak gol buat Arsenal ke atas Sporting Lisbon November tahun lalu.

Tindakan itu menjadi perdebatan ramai termasuk legenda-legenda bola sepak yang rata-ratanya mengkritik perbuatan Gabriel sebagai ‘kebudak-budakan’.

Tujuh bulan kemudian, Gyokeres dibeli Arsenal pada harga £64 juta (RM361.32 juta) sekali gus menimbulkan situasi ‘kekok’ antara penyerang Sweden dan pertahanan Brazil itu.

Namun, mentaliti hebat dan profesionalisme kedua-dua pemain itu menjadi antara nadi kekuatan Arsenal yang baru tewas sekali daripada 12 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.

Gyokeres pada awalnya dikritik tidak sesuai di EPL disebabkan struktur tubuhnya yang ‘keras’ tetapi perlahan-lahan mula menyesuaikan diri dan menunjukkan impak sebenar.

Keupayaannya ‘memegang’ bola dan melakukan larian di belakang pertahanan secara tidak langsung mempercepatkan transisi serangan serta membuka lebih banyak ruang kepada rakan

sepasukan.
Keseluruhan lima gol daripada 12 perlawanan dengan tiga di EPL dan dua di Liga Juara-Juara Eropah hasil kemenangan 4-0 ke atas Atletico Madrid baru-baru ini membuktikan peningkatan prestasi Gyokeres yang hanya menunggu masa untuk lebih mengganas.

Begitu juga dengan Gabriel apabila memahat namanya sebagai pemain kedua dengan jumlah gol terbanyak dalam kalangan bek tengah yang masih bermain di EPL, di belakang Virgil van Dijk.

Lebih menarik Gabriel yang dahulunya ‘musuh’ kepada Gyokeres, tetapi kini dia mencipta bantuan jaringan kepada rakan sepasukannya itu ketika menewaskan Atletico.

Kekuatan fizikal dan ketepatan tandukannya menjadi salah satu senjata utama Arsenal hinggakan mereka diberi gelaran ‘Set-Piece FC’ oleh para pembenci.

Tidak mustahil selepas ini peminat-peminat Arsenal akan dapat menyaksikan lebih banyak gaya jaringan Batman dan Bane dalam usaha memenangi trofi EPL musim ini sekali gus menamatkan penantian 21 tahun sejak bergelar Invincibles di bawah kendalian Arsene Wenger pada 2004.

Selain Gyokeres dan Gabriel, barisan pemain Arsenal yang kini boleh dikatakan sempurna di setiap posisi hingga mudah melakukan penggiliran menjadi salah satu kekuatan mereka hingga diakui pemain serta jurulatih lawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN