KEMAMAN – Peniaga lemang Kijal memberi jaminan rasa makanan tradisi itu tetap enak walaupun mereka kini berpindah ke tapak gerai baharu yang selesa dan dilengkapi fasiliti lebih baik mulai awal tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Razali Idris berkata, tapak lama berusia hampir 30 tahun itu sudah uzur dan terlalu dekat dengan laluan utama yang boleh mengakibatkan kemalangan.
Katanya, tapak baharu terletak di belakang bangsal kayu lama di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan arah Kuala Terengganu.
“Ia melibatkan 16 peniaga lemang yang sudah memartabatkan makanan tradisional tersebut sejak sekian lama,” katanya sewaktu meninjau kerja-kerja pembinaan gerai baharu tersebut di Kijal di sini semalam.
Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu berkata, peningkatan fasiliti itu bakal melonjakkan lagi reputasi lemang Kijal.
Tambahnya, lemang Kijal menjadi juadah pada musim perayaan, malah dikenali dan dibeli pelanggan termasuk dari luar Terengganu setiap hari.
Sementara itu, pemangku Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Lemang, Khazalina Khalid berkata, peniaga gembira dengan perubahan itu kerana kawasan lama sering dilanda banjir kilat pada musim tengkujuh.














