fbpx
SEBAHAGIAN aksi menarik aksi derbi Lembah Klang antara Selangor FC dan KL City pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.- MUHAMAD IQBAL ROSLI

Liga Super: Selangor FC, KL City sama kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiada pasukan mampu mengukuhkan status selaku jaguh sebenar pada aksi derbi Lembah Klang apabila Selangor FC dan Kuala Lumpur City terikat tanpa jaringan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Walaupun tidak mampu memastikan tiga mata, KL City terus cemerlang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini dan kekal di kedudukan kedua dengan 17 mata, kurang tujuh mata berbanding Johor Darul Ta’zim (JDT) di puncak liga.

Kedua-dua penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Selangor FC) dan Quincy Julian Kammeraad (KL City) antara pemain mencuri perhatian pada perlawanan kali ini apabila menafikan beberapa peluang terbaik yang tercipta sepanjang 90 minit permainan.

Terdahulu, The Red Giants memulakan perlawanan dengan agak positif apabila mampu mencipta peluang terbaik untuk membuka jaringan namun secara peratusan penguasaan, kedua-dua pasukan dilihat agak seimbang.

Skrip dilihat sedikit berbeza di separuh masa kedua dengan menyaksikan The City Boys mula menggandakan intensiti permainan, menyaksikan beberapa peluang terbaik berjaya dicipta khususnya menerusi Safawi Rasid.

Walaupun penyokong terus dihidangkan beberapa peluang terbaik daripada kedua-dua pasukan, tiada jaringan mampu dihasilkan sekali gus memaksa Selangor FC dan KL City berpuas hati dengan satu mata.

Dalam aksi berasingan di Stadium Negeri Pulau Pinang, Imigresen FC dan Sabah turut mencatatkan keputusan seri 2-2.

Gol Imigresen FC dijaringkan Joao Pedro pada minit ke-27 dan Eduardo Sosa, minit ke-79 manakala jaringan Sabah terhasil menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-50 dan Miguel Cifuentes, minit ke-53. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN