fbpx
PESERTA konvoi ME250 KVOC merakam gambar kenangan di hadapan masjid yang sedang dibina.

Konvoi ME250 KVOC bantu bangunkan madrasah di Lojing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DERUMAN enjin bukan sekadar simbol kebebasan di jalan raya, sebaliknya menjadi medium menyemai semangat kebajikan.

Itulah yang dibuktikan oleh Kelab Pemilik Modenas Elegan 250 Lembah Klang (ME250 KVOC) menerusi siri ketiga konvoi amal ke Lojing, Kelantan baru-baru ini.

Lebih 30 ahli kelab menempuh perjalanan hampir 400 kilometer (km), bermula dari Gombak, Selangor melalui Bentong, Raub, Simpang Pulai, dan akhirnya memasuki Jalan Gua Musang–Cameron Highlands (Federal Route 185) yang berliku serta berbukit menuju ke tanah tinggi Lojing. 

Jalan kering dan cuaca baik menjadikan perjalanan lebih lancar, walaupun mengambil masa kira-kira enam jam.

Konvoi kali ini membawa misi murni iaitu menyalurkan sumbangan kepada sebuah pusat pengajian agama, Madrasah Al-Diniyah Al-Ikwanul Mukninun.

Presiden kelab, Mohd. Hafizal berkata, siri ketiga itu merupakan kesinambungan daripada dua siri terdahulu sejak 2023.

“Tahun lepas, kami melakukan dua konvoi siri pertama untuk bantuan asas pembinaan dengan kutipan sekitar RM9,000.

“Pada siri kedua, kami kembali ke Lojing untuk menyalurkan lampu solar kerana pondok itu tiada bekalan elektrik.

“Alhamdulillah, kami berpeluang terus membantu penduduk di pedalaman secara konsisten,” katanya kepada CitaRasa.

WAKIL ME250 KVOC menyampaikan sumbangan kepada wakil Madrasah Al-Diniyah Al-Ikwanul Mukninun di Lojing, Kelantan.

Kelab ME250 KVOC didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2023, walaupun sudah bermula sejak 2022.

Sejak itu, mereka menjalankan pelbagai aktiviti sehinggalah mengetahui tentang keperluan dana untuk membina masjid di kawasan pedalaman.

Projek tersebut diasaskan oleh Ustaz Ibrahim yang menyedari bahawa penduduk di kawasan berkenaan sukar mengakses masjid terdekat kerana jaraknya sekitar 20 hingga 25km melalui jalan berlumpur.

Kongsi Mohd. Hafizal, mereka berjaya mengumpul hampir RM30,000 hasil infaq ahli dan sumbangan orang ramai yang bermurah hati.

“Untuk siri ketiga ini, kutipan dana semakin bertambah dan kami akan membantu Ustaz Ibrahim menyambung niat murninya.

“Dana ini akan digunakan bagi menyiapkan dinding Muslimah, pintu, tingkap, kawasan parkir serta tandas untuk keselesaan pelajar dan penduduk setempat,” katanya.

Konvoi kali ini turut disertai wakil ME250 TTs Sel/KL sebagai sayap kepada ME250 KVOC, sekali gus menambah kerjasama komuniti dalam misi amal tersebut.

Mohd. Hafizal turut menyediakan bengkel khas untuk memastikan enjin dan ketahanan motosikal berada dalam keadaan terbaik supaya konvoi berjalan lancar.

Keselamatan penunggang dan penyelenggaraan motosikal menjadi keutamaan terutama di laluan berbukit.

LEBIH 30 ahli kelab menempuh perjalanan hampir 400km dari Lembah Klang ke Lojing.

Setibanya di Lojing, peserta menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan kepada pengurusan madrasah.

Aktiviti gotong-royong, solat berjemaah dan sesi tazkirah bersama ustaz turut diadakan, sekali gus memberi peluang kepada peserta menimba ilmu serta mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat.

Selepas menyempurnakan misi di madrasah, kumpulan penunggang turut mengadakan lawatan ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Ku Mohd. Zaki Ku Hussin, sebelum pulang keesokannya.

Harapan Mohd. Hafizal, aktiviti yang menghubungkan penduduk bandar dan pedalaman itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Mereka di pedalaman sukar mendapat perhatian umum. Oleh itu, kami berhasrat menjadi jambatan yang membantu membangunkan masjid di sana.

“Saya bersyukur kini hasilnya semakin ketara dengan terbinanya masjid yang boleh dimanfaatkan penduduk kampung tanpa perlu berjalan jauh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN