fbpx
ATHIRAH menunjukkan kek potret penyanyi Aina Abdul yang dihasilkannya.

Kek jadi kanvas lukisan realistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di tangan Nor Athirah Mohd. Azlee, kek bukan sekadar pencuci mulut, bahkan menjadi kanvas yang dihidupkan dengan sapuan warna dan corak penuh jiwa.

Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mencuri perhatian ramai melalui akaun Instagramnya, @thecakiesmy, dengan setiap hasil kek chiffon tampil bagaikan karya seni halus yang terlalu indah untuk dimakan.

Berbeza daripada dekorasi kek konvensional, Athirah memilih untuk melukis terus di atas permukaan chiffon yang lembut dan gebu.

Menggunakan berus halus dan pewarna khas yang selamat dimakan, dia menghasilkan potret artis terkemuka, motif-motif flora, ilustrasi kartun serta corak bertema alam yang menggambarkan sisi kreatifnya.

Berkongsi dengan CitaRasa, dia yang mesra disapa Athirah berkata, apa yang bermula sebagai hobi kini berkembang menjadi perniagaan seni makanan yang diminati pelanggan dari seluruh negara.

“Semuanya bermula sewaktu dunia dilanda pandemik. Saya yang ketika itu bertugas sebagai pensyarah sambilan bagi jurusan Art and Design mempunyai banyak masa terluang ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Oleh sebab itu, saya menyertai kelas bakeri secara online kerana ingin cuba bereksperimen dengan lukisan potret di atas medium dan tekstur baharu iaitu kek.

“Apabila berkongsi hasil lukisan saya di laman media sosial, ramai yang berminat dan ingin menempah. Dari situ, saya mula mengambil tempahan secara kecil-kecilan,” ujarnya membuka bicara.

Memandangkan Athirah sudah pun mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni halus, keputusan menambah ilmu baharu dengan mengikuti kelas membuat kek ternyata membuahkan hasil, apabila ia membuka ruang perniagaan buatnya.

Kek chiffon menjadi pilihan Athirah untuk berkarya dek kerana teksturnya yang ringan menjadikan kek itu mudah menyerap warna.

Lukisan-lukisan yang dihasilkan di atas kek perlu dihasilkan dengan teliti tanpa kesilapan.

Begitu pun, Athirah mengakui melukis di atas permukaan lembut sebegitu bukan sesuatu yang mudah, kerana jika tersilap, ia tidak boleh dipadam atau diperbetulkan.

“Tekstur kek yang mudah menyerap warna membuatkan proses memadam lakaran yang tidak menjadi itu sesuatu yang mustahil.

“Jadi, proses melukis itu memerlukan ketelitian dan keyakinan yang tinggi,” katanya.

Athirah lazimnya memerlukan masa sekitar satu hingga tiga jam bagi menyiapkan lukisan di atas sebiji kek, bergantung kepada jenis gambar, manakala proses keseluruhan termasuk membuat kek memakan masa sekitar empat jam.

Ujar Athirah lagi, bagi memastikan lukisan di atas kek kekal cantik apabila dipotong, dia perlu memastikan nisbah campuran air dan pewarna makanan tepat supaya lukisan tidak menjadi kembang apabila kek disimpan atau dipotong.

Berkongsi tentang reaksi pelanggan apabila menerima kek lukisannya, Athirah berkata, mereka sering teruja dan tidak percaya bahawa kek secantik itu dihasilkan dengan menggunakan lukisan tangan, bukan cetakan.

“Semua reaksi dan komen yang positif daripada pelanggan sememangnya membuat saya terharu dan menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerjaya ini,” katanya yang berhasrat untuk mengadakan bengkel lukisan realistik di atas kek, sekiranya ada rezeki kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN