KOTA BHARU – Lapan individu termasuk seorang lelaki yang berperanan sebagai bapa ayam bersama empat pelacur warga Thailand dan Vietnam direman lima hari selepas ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Kebun Sultan di sini semalam.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Selasa depan terhadap kesemua suspek yang berusia 31 hingga 77 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Muhammad Izzat wan Abdullah.
Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah berkaitan aktiviti persundalan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan menawarkan khidmat seks. Sementara itu, sumber polis berkata, kesemua suspe ditahan sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan kira-kira pukul 11.15 malam dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Kebun Sultan di sini.
Menurutnya, siasatan mendapati, empat pekerja seks yang terdiri daripada tiga warga Thailand dan seorang wanita Vietnam berada di premis tersebut.
“Selain itu, seorang lelaki berusia 57 tahun yang dipercayai merupakan bapa ayam turut ditahan. Dua wanita warga emas masing-masing berusia 60 dan 77 tahun disyaki pengurus selain pemilik premis tersebut dicekup untuk membantu siasatan.
“Seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pelanggan perkhidmatan itu juga ditahan,” ujarnya.
Menurut sumber itu, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah. – KOSMO! ONLINE














