PETALING JAYA – Pemuda yang tular kerana berhenti belajar dan menjual sandwic di hadapan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Bukit Bintang, Kuala Lumpur bagi menyara keluarga kembali menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Keusahawanan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School.
Ini selepas kisah kegigihan anak muda itu mendapat perhatian daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang bersetuju menyambung pembiayaan pengajian Ashraf beserta pemberian wang saku bulanan sebanyak RM800.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut bersetuju untuk membantu keluarganya.
Menurut Muhammad Ashraf Saipul Nizam, 23, dia mula mendaftar masuk pada hari ini dan akan memulakan kelas secara rasmi minggu hadapan.
Katanya, peluang yang diberikan kepadanya itu disifatkan sebagai satu rezeki besar yang membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
“Saya rasa sangat bertuah dan bersyukur dengan rezeki ini. Sekurang-kurangnya saya nampak masa depan saya untuk memajukan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, ibu bapanya turut terharu dengan berita tersebut dan menyokong keputusannya untuk kembali menuntut ilmu dan tetap meneruskan perniagaan sandwic yang diusahakan.
“Alhamdulillah, pihak UniKL beri kelonggaran, saya boleh susun waktu belajar ikut masa berniaga. Insya-Allah, saya akan terus jual sandwic dan masih menanggung keluarga. Saya juga akan tinggal bersama keluarga,” katanya.
Tambahnya, hasil jualan bukan sahaja digunakan untuk kegunaan di universiti, tetapi juga bagi membantu keluarga.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, seorang pemuda terpaksa melupakan sementara impiannya untuk menyambung pengajian di universiti selepas diuji dengan masalah kewangan dan menjual makanan di kaki lima bagi menampung kehidupan.
Muhammad Ashraf yang menuntut di UniKL dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan mengambil langkah berat itu kerana bapanya tidak lagi bekerja disebabkan sakit, selain ibunya yang turut berdepan masalah kesihatan.
Katanya, dia menuntut di UniKL sejak Mac tahun lalu, namun berhenti akhir Jun tahun sama.














