KOTA BHARU – Sebuah lori yang membawa muatan simen merempuh tiga buah kenderaan sebelum berhenti di tengah-tengah pembahagi jalan apabila pemandu kenderaan berat itu mengalami serangan jantung di depan sebuah pusat tuisyen di Kubang Kerian, di sini pada pukul 1.10 tengah hari tadi.
Dalam kejadian itu, pemandu lori rigid jenis Dong Feng yang berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini, kira-kira sejam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang memandu dan memarkir lori tersebut dipercayai mengalami serangan jantung.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan lori yang dia pandu bergerak ke hadapan dengan perlahan sebelum merempuh tiga buah kenderaan lain.
“Pemandu lori itu dibawa ke HPUSM untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.10 petang tadi,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Mohd. Rosdi memberitahu, pemandu ketiga-tiga kenderaan yang dirempuh lori tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan sebuah lori bergerak sendiri merempuh beberapa buah kenderaan sebelum berhenti di tengah-tengah pembahagi jalan.
Pemeriksaan orang ramai mendapati, pemandu lori itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengesyaki mangsa mengalami serangan jantung. – KOSMO! ONLINE