PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Jabatan Imigresen (JIM) telah membatalkan pasport antarabangsa milik menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Menurutnya, pembatalan itu dibuat selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan telah dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
“Saya difahamkan JIM bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport dan hal itu telah pun dilaksanakan dan saya boleh sahkan (pembatalan pasport),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas status pasport milik Muhammad Adlan yang kini dikehendaki SPRM bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.
Saifuddin berkata, biarpun kes itu berada di bawah bidang kuasa SPRM namun, pihaknya akan mendapatkan maklumat lengkap daripada semua agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk JIM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ditanya sama ada nama Muhammad Adlan telah dimasukkan dalam senarai Interpol, Saifuddin menjelaskan, perkara tersebut telah dibuat oleh badan siasatan tersebut.
“Pemakluman untuk memasukkan dia (Muhammad Adlan) ke dalam senarai Interpol telah dibuat oleh SPRM sepertimana dibuat oleh Tan Sri Razarudin Hussain (bekas Ketua Polis Negara),” katanya.
Ditanya juga sama ada Muhammad Adlan bergerak menggunakan pasport yang telah dibatalkan, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya akan menyemak dakwaan tersebut. – KOSMO! ONLINE