PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi beberapa MyKad disusun di hadapan kaunter sebuah stesen minyak, dipercayai ditinggalkan oleh pelanggan selepas digunakan untuk urusan pembayaran atau pengisian minyak bersubsidi Budi Madani RON95 (Budi95).
Menerusi hantaran pengguna TikTok @Masterkie1971, menunjukkan pihak stesen minyak meletakkan MyKad yang tercicir di kaunter pembayaran bagi memudahkan urusan pemilik kad pengenalan untuk mencarinya.
“Sekarang ini, ramai orang tertinggal kad pengenalan di setiap stesen pam minyak. Takkan hari-hari nak ingatkan, kadangkala kita akan terlupa,” menurutnya pada ruang kapsyen.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penggunakan MyKad dalam pelaksanaan program Budi95 telah terbukti berkesan, berbanding penggunaan data Sistem Pangkalan Data Utama.
Untuk rekod, penggunaan MyKad turut terbukti berkesan melalui Sumbangan Tunai Rahmah.
Menjengah ke ruang komen, ramai mengakui hampir tertinggal MyKad di stesen minyak terutamanya apabila tergesa-gesa atau sibuk dengan urusan harian.
“Memang sudah menjangka perkara ini akan berlaku. Pekerja stesen minyak yang pening kena bertukar jadi pegawai kaunter JPN,” komen @Ayzollaz
“Kepada yang kata menyusahkan itu, boleh cadangkan kaedah menghalang warga asing isi petrol subsidi,” komen @Dinpagohh
“Minggu lepas pun saya tertinggal MyKad dalam perjalanan balik kampung dari Perak ke Pahang. Dah jalan 120KM baru teringat dan kena berpatah balik,” kata Kumar. – KOSMO! ONLINE