fbpx
YUSOF ceria menunjukkan pingat emas dimenanginya selaku juara dunia bagi acara 200m pecut MC1 di Brazil.

Yusof cipta sejarah muncul juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Atlet para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin mencipta sensasi di pentas dunia apabila muncul juara dunia pertama acara pecut 200 meter (m) kategori MC1 pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia UCI 2025 di Rio de Janeiro, Brazil semalam.

Kemenangan luar biasa itu menghadiahkan jersi pelangi yang menjadi simbol tertinggi kejayaan dalam dunia berbasikal, sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai antara kuasa baharu di peringkat global.

Lebih manis, kejayaan itu hadir sehari selepas atlet berusia 28 tahun tersebut diangkat sebagai Pelumba Para Terbaik 2025 pada Majlis Apresiasi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berlangsung di Melaka.

Yusof menamatkan saingan dengan penuh bergaya selepas menewaskan juara bertahan dari Sepanyol, Ricardo Ten Argiles dalam perlumbaan akhir, sementara wakil neutral, Ivan Ermakov berada di tempat ketiga.

Ia sekali gus menebus kekecewaannya apabila sekadar meraih pingat perak dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa pada hari pertama kejohanan.

Pada pusingan kelayakan, Yusof mencatat masa kedua terpantas, 13.152 saat (s) dan terus konsisten di separuh akhir apabila menewaskan pelumba Rusia dan Arab Saudi dengan catatan 13.733s bagi melayakkannya ke pentas final.

Lebih bermakna, dia juga mencipta sejarah sebagai atlet pertama dunia memenangi pingat emas acara 200m pecut MC1 yang baru diperkenalkan dengan penganugerahan rasmi daripada UCI selepas sebelum ini ia hanya sebahagian daripada disiplin Omnium.

Menurut jurulatih para berbasikal negara, Sallehudin Mohd Noh, kemenangan Yusof adalah hasil kerja keras serta ketekunan berterusan sepanjang musim latihan.

“Yusof pernah kecewa apabila hanya meraih perak dalam 1 km ujian masa, tapi dia bertekad untuk menebusnya dengan mengatasi Ricardo Ten Argiles dalam acara 200m pecut dan dia berjaya melakukannya dengan penuh bergaya,” katanya dari Rio de Janeiro.

Sallehudin menambah, kejayaan itu bukan sekadar membanggakan Malaysia, malah turut memperlihatkan keberkesanan gabungan bimbingan bersama jurulatih podium, Mohd. Rizal Tisin yang akhirnya membawa laungan Negaraku bergema di bumi Brazil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI