PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial terkejut melihat harga sayur kubis bunga yang disifatkannya jauh lebih mahal berbanding barangan keperluan asas lain seperti beras dan minyak masak.
Menerusi hantaran di Facebook Siti Rozninag, wanita berkenaan menulis bahawa niat asalnya hanya mahu membeli sayur tersebut, namun terkejut apabila mendapati harga 1.37 kilogram sayur itu mencecah RM21.24, iaitu lebih mahal daripada 5 kilogram (kg) beras dan hampir menyamai sebotol 5kg minyak masak.
“Niat hati mahu beli brokoli tapi entah lah mata Siti yang salah tengok atau memang harga dia yang mahal. Kalau difikir-fikir RM21 tu boleh beli beras 5kg dengan sepeket minyak masak 1kg yang boleh diguna lebih kurang seminggu,” katanya.
Perkongsian wanita itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut terkejut dengan kenaikan harga sayur-sayuran, terutamanya jenis import seperti brokoli dan kubis bunga.
“Mak ai, mahalnya. Memang makan ayam goreng sahajalah atau kutip kangkung tepi parit,” kata Syafiqah.
“Seramnya harga sayur-sayur sekarang. Kalau pergi pasar pagi ka, pasar raya ka sama ja mahal-mahal. Kena mula menanam sayur sendiri tapi rumah jenis setapak tanah pun tak ada,” kata Nelly.
Ada yang berseloroh mengatakan brokoli kini tergolong dalam kategori ‘sayur kayangan’, manakala sebahagian lagi menasihatkan pengguna untuk memilih alternatif tempatan yang lebih murah seperti sawi, kobis biasa dan bayam.
“Brokoli kayangan ka apa ini,” soal Suhana Hanna. – KOSMO! ONLINE