MADRID – Pengendali Real Madrid, Xabi Alonso memuji kualiti permainan dipamerkan oleh gandingan berbisa, Vinicius Jr. dan Kylian Mbappe selepas menang tipis 1-0 ke atas Getafe pada aksi La Liga awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium Coliseum itu, The Galacticos terpaksa bekerja keras untuk meraih tiga mata berharga hasil penyudah Mbappe untuk kekal mendahului carta La Liga musim ini.
Kata Alonso, kedua-dua pemain mempunyai peranan masing-masing dan sangat melengkapi untuk mencorakkan jentera serangan pasukan.
“Vinicius mempamerkan impak yang berkualiti walaupun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian. Kehadirannya memberi dimensi berbeza buat jentera serangan kami dan berjaya menggegarkan benteng pertahanan lawan.
“Secara peribadi, saya tidak bersetuju dakwaan kita terlalu bergantung dengan Mbappe tetapi ketika ini dia berada pada tahap terbaik. Kemenangan ini adalah hasil kerja keras semua pemain di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Alonso mengakui pasukan tuan rumah sepatutnya boleh meraih keputusan seri jika penjaga golnya, Thibaut Courtois tidak menyelamatkan beberapa peluang keemasan pada penghujung saingan.
“Courtois melakukan tugasnya dengan menjaga gawang sebaik mungkin. Sepatutnya benteng pertahanan kita lebih peka tetapi saya gembira keputusan ini kekal hingga wisel penamat,” katanya. – AGENSI














