fbpx
TANG JIE (kiri) dan Ee Wei akan menggalas cabaran pada kejohanan Terbuka Perancis yang bermula Selasa ini. - AFP

Terbuka Denmark: Tang Jie-Ee Wei fokus kekal konsistensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kekalahan di separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark langsung tidak mematahkan semangat juang beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Sebaliknya, juara dunia itu mahu menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran berguna bagi membantu mereka untuk menampilkan aksi lebih konsisten dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa.

Pada perlawanan yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense semalam, Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur tewas kepada pilihan utama dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 17-21, 21-18, 18-21.

Ee Wei berkata, kekalahan itu langsung tidak mematahkan semangat mereka selain mengakui mahu meningkatkan lagi kekuatan mental serta komunikasi dengan Tang Jie di dalam gelanggang.

“Sudah tentu mereka (Zhen Bang-Ya Xin) adalah pasangan No.1 dunia pada ketika ini. Kami pula masih dalam proses belajar dan juga mahu terus meningkatkan konsistensi.

“Dari segi komunikasi dan juga kekuatan mental di dalam gelanggang, saya rasa kami sudah semakin baik dan akan terus memperbaikinya,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Keputusan itu turut menyaksikan Zhen Bang-Ya Xin berjaya melunaskan dendam ke atas Tang Jie-Ee Wei yang menewaskan mereka pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia di Paris, Perancis Ogos lalu.

Sementara itu, Tang Jie pula menjelaskan, dia dan Ee Wei sudah memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut, namun gagal memanfaatkan peluang ketika berdepan mata penting.

“Kami sudah berikan yang terbaik pada perlawanan ini tetapi kami tidak dapat menemui rentak serangan ketika saat genting. Bagaimanapun, kami tetap bangga dengan semangat juang dipamerkan,” ujarnya.

Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei masih belum meraih sebarang gelaran dalam saingan Jelajah Dunia musim ini dengan pencapaian terbaik mereka adalah ketika muncul naib juara China Masters bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI