KUALA LUMPUR – Hasrat perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching untuk merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 tidak kesampaian apabila tewas di perlawanan akhir.
Pada perlawanan yang berlangung di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor sebentar tadi, dia terpaksa akur tewas 18-21, 11-21 kepada bekas juara dunia, Nozomi Okuhara dari Jepun.
Walaupun bermula garang di set pertama dengan mendahului 9-5, namun Ling Ching gagal untuk mengekalkan momentum apabila membenarkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu melakukan kebangkitan.
Justeru, pemain kelahiran Miri, Sarawak itu terpaksa menanggung kekalahan di set pertama dan berdepan aksi lebih sukar pada set kedua.
Okuhara yang mendapat keyakinan menerusi kemenangan set pertama kemudiannya mengekalkan rentak cemerlang di set kedua sebelum memastikan gelaran menjadi miliknya dalam tempoh 39 minit.
Selaku juara, Okuhara membawa pulang hadiah wang tunai AS$9,000 (RM38,047) manakala Ling Ching berpuas hati dengan AS$4,560 (RM19,277).
Selepas ini, Ling Ching dijadualkan menyertai kejohanan Indonesia Masters II yang akan berlangsung di Medan bermula 21 hingga 26 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE