SEBERANG PERAI – Kematian tragis dua beranak di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, di sini malam tadi adalah disebabkan tetakan pada belakang leher dipercayai menggunakan senjata tajam menyerupai pisau pemotong daging.
Pakar Patologi Forensik Hospital Seberang Jaya, Datuk Dr. Zahari Noor berkata, dapatan itu adalah berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat kedua-dua mangsa yang mengalami luka teruk.
“Pada pandangan saya si ibu ditetak dari arah belakang sebelum penyerang naik ke (tingkat) atas rumah lalu menetak si anak. Kedua-dua mereka diserang dari arah belakang.
“Terdapat juga kesan luka pada tangan kemungkinan mangsa (anak) cuba menepis senjata itu.
“Melihat kepada kesan luka pada mangsa, saya rasa penyerang terbabit menggunakan senjata tajam yang berat seperti pisau pemotong daging,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya di sini, sebentar tadi.
Menurut Dr. Zahari, pihaknya percaya kejadian berdarah itu berlaku pada waktu sama dan perbuatan tersebut mungkin dilakukan oleh seorang suspek.
Terdahulu, bedah siasat ke atas mayat dua beranak tersebut selesai pada pukul 4.30 petang dan akan dibawa pulang ke kampung di Jeneri, Kedah untuk urusan pengebumian.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam semalam itu, mangsa, Sariya Che Hin, 51 dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, maut dipercayai dibunuh di rumah mereka di Kampung Juru, Seberang Perai.
Mayat mereka ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk hampir putus kepala dan tangan. -KOSMO! ONLINE