TIDAK kira musim atau acara, satu aksesori fesyen yang sentiasa menjadi penyelamat gaya adalah cermin mata hitam.
Ia bukan sekadar pelindung daripada silau matahari, tetapi juga simbol identiti dan keyakinan diri.
Dari jalanan hingga ke pentas fesyen antarabangsa, sepasang cermin mata hitam yang tepat mampu mengubah aura keseluruhan seseorang, menjadikan gaya kasual tampak eksklusif dan busana ringkas terasa berkarakter.
Bagi sesetengah orang, cermin mata hitam dianggap sebagai satu pernyataan gaya (statement piece). Dalam dunia fesyen yang semakin dinamik, aksesori itu menjadi simbol bagaimana seseorang menonjolkan dirinya tanpa perlu berkata apa-apa.
Berkongsi pandangan tentang penggayaan kaca mata hitam, pelakon terkenal, Hun Haqeem, 27, berkata apabila mahu menggayakan sepasang cermin mata hitam, dia lazimnya akan memilih sesuatu yang sesuai dengan bentuk wajahnya.
“Bagi saya, kita perlu faham bentuk muka dan juga features yang ada pada wajah kita apabila mahu memilih cermin mata yang sesuai.
“Selain itu, saya juga akan bertanya pendapat ahli keluarga tentang cermin mata hitam pilihan sebelum membeli, kerana bagi saya mereka mempunyai taste yang bagus,” katanya kepada CitaRasa.
Ujar anak kelahiran Kuching, Sarawak itu lagi, dia lebih meminati rekaan yang bersifat classy dan tak lapuk dek zaman, kerana merasakan gaya tersebut lebih sesuai dengan dirinya.

“Selain itu, saya juga berpendapat kita tidak perlu ada banyak cermin mata hitam pun sebenarnya, cukup jika ada satu yang bingkai dan kantanya hitam penuh, kerana apabila dipakai, it just works untuk semua pakaian yang diperagakan,” katanya yang mempunyai koleksi dalam bilangan kurang 10 pasang cermin mata hitam.
Turut mementingkan aspek keselesaan, Hun berkata, biarpun tampil bergaya, cermin mata yang dipakai perlulah selesa kerana mempengaruhi look keseluruhan.
“Jika hanya cantik, namun tidak selesa atau merimaskan pun tak seronok juga.
“Bagi saya, rekaan cermin mata hitam pilihan peribadi saya perlu classy, namun juga harus selesa,” katanya.

Berkongsi falsafah sama, jenama kaca mata tempatan, Pott Glasses yang diasaskan dua rakan karib, Tai Hau Aw dan Eden Hoong berkata, mereka percaya bahawa cermin mata tidak seharusnya terhad dengan satu fungsi sahaja.
“Pott Glasses bukan sekadar cermin mata. Ia adalah pernyataan gaya, identiti dan keyakinan, direka untuk menggabungkan estetika fesyen dengan keselesaan sepanjang hari bagi gaya hidup moden.
“Meraikan ulang tahun ke-10 tahun ini, kami melancarkan rangkaian Pott Sunnies: Koleksi X yang menampilkan seleksi cermin mata hitam yang boleh diubah suai mengikut gaya peribadi pemakai,” kata Hau Aw.
Dengan sentuhan kreatif, koleksi kaca mata hitam Pott Sunnies didatangkan dengan aksesori loket (charm) yang boleh dipasang pada bahagian sisi kaca mata hitam, membolehkan si pemakai menyesuaikan penampilan sambil mengekspresikan keperibadian diri.
Ujar Hoong pula, misi label yang diasaskan pada 2015 itu adalah untuk menyediakan rakyat Malaysia dengan cermin mata yang melangkaui fungsi.
“Setiap perincian, daripada bingkai hingga loket, direka dengan idea bahawa cermin mata wajar sama menyerlah dalam ekspresi serta boleh disesuaikan dengan pemakainya,” katanya.















