SHAH ALAM – Seramai 1,500 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan akan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan bangunan sekolah yang rosak teruk dilanda ribut sebelum ini.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pembelajaran itu akan diikuti kesemua murid bagi memastikan kerja-kerja pembaikian sekolah itu.
Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika ini telah memberikan cuti selama dua minggu susulan insiden itu.
“Namun, terdapat 200 murid tahun 5 dibenarkan hadir ke sekolah bagi menghadapi peperiksaan pada minggu depan.
“Justeru, kita akan memastikan ada kelas sesuai bagi tujuan itu,” katanya ketika ditemui selepas melawat keadaan terkini SRA Kampung Medan di sini.
Beliau memaklumkan berdasarkan lawatannya mendapati surau terus rosak terus yang memerlukan pembinaan semula selain kerja-kerja pembaikan bagi sebuah blok bangunan kelas.
“Bagi kelas di bahagian hadapan, kerosakan melibatkan bahagian bumbung dan saya sendiri melihat keadaan pendawaian serta perabot yang perlu diperbaiki segera.
“Bagi dua blok lain pula, hanya siling yang terjejas namun Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan pemeriksaan terperinci kerana dikhuatiri sistem pendawaian boleh menyebabkan renjatan elektrik atau kebocoran sekiranya hujan,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak RM18,000 disumbangkan menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), murid-murid yang terkesan dan pembangunan sekolah.
“Halal International Selangor turut menyumbangkan sejumlah RM1,300 untuk 13 murid yang cedera akibat ribut itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE