PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keutamaan misi bantuan ke Gaza selepas ini bukan pada jumlah sukarelawan yang ramai, tetapi keberkesanan bantuan yang benar-benar diperlukan rakyat di sana.
Perdana Menteri berkata, beliau turut menasihatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu agar fokus pada persiapan dan penghantaran bantuan dari sini.
“Jangan membebankan keadaan di sana dengan kehadiran terlalu ramai orang (sukarelawan).
“Kalau dilihat sekarang, pendaftaran sukarelawan yang ingin ke sana sudah mencecah ribuan orang dan ini tidak praktikal. Dalam keadaan sebegini, biarlah bantuan disalurkan secara tersusun dan berhemah.
“Jika pada masa akan datang mereka perlukan lebih ramai tenaga, barulah kita boleh menilai semula dan menghantar bantuan tambahan,” katanya ketika ditemui selepas Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5, di sini.
Beliau berkata demikian susulan pembukaan sempadan Rafah di Mesir tidak lama lagi bagi membolehkan pergerakan serta penghantaran bantuan kemanusiaan antara Mesir dan Gaza.
Katanya, beliau mengesahkan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi akan menghubungi tengah hari esok bagi berkongsi perkembangan pembukaan pintu sempadan itu.
Anwar berkata, beliau sendiri akan menyampaikan beberapa pandangan tambahan supaya apabila pintu Rafah dibuka, bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
“Saya juga telah berjumpa dengan wakil-wakil NGO seperti Ehsan Relief Malaysia dan Mercy Malaysia serta beberapa NGO lain.
“Malah, mereka (NGO) menyatakan bahawa keperluan utama ketika ini ialah perubatan, makanan dan kemudahan asas bukan kehadiran ramai sukarelawan dari luar.
“Menurut mereka, tenaga kerja seperti doktor dan jurutera sudah mencukupi di Gaza. Apa yang lebih diperlukan ialah kemudahan dan bekalan, yang jika boleh, dibeli terus di sana kerana lebih murah berbanding membawanya dari sini (Malaysia),” katanya.
Jelasnya lagi, bagi keperluan ubat-ubatan pula, syarikat-syarikat yang mampu menyalurkan bekalan itu perlu dikenal pasti.
“Kita juga perlu ingat, walaupun ramai yang mahu pergi membantu, pihak di Gaza sendiri menasihatkan supaya tidak terlalu ramai yang hadir.
“Mereka (penduduk Gaza) ada tenaga, cuma tiada pekerjaan. Biar mereka sendiri yang melaksanakan tugas di lapangan,” katanya.- KOSMO! ONLINE