KOTA BHARU – Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) memilih laluan sukar dalam saingan suku akhir pusingan pertama Piala FA apabila tewas 1-2 kepada Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kelantan TRW gagal mencipta jaringan awal apabila Muhammad Asraf Aliffuddin Yasin mensia-siakan peluang terbaik daripada situasi satu lawan satu apabila sepakannya ditangkap kemas Damien Lim Chuen Khai pada minit ketiga.
Sabah FC terlebih dahulu membuka jaringan apabila rembatan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew tepat menggegar jaring gol tuan rumah pada minit ke-12.
Terkejut dengan jaringan itu, Kelantan TRW yang baru dilatih Akmal Rizal Ahmad Rakhli segera bangkit menyamakan kedudukan apabila Abdul Sesay menampan masuk hantaran lintang Hein Htet Aung pada minit ke-16.
The Rhinos sekali lagi membuat kejutan apabila Ajdin Mujagic pantas menyambar peluang dari situasi kelam kabut di hadapan pintu gol tuan rumah untuk menjaringkan gol kedua Sabah FC pada minit ke-43.
Kelantan TRW cuba kembali mengikat perlawanan secepat mungkin namun gagal merobek gawang pelawat dan kedudukan kekal 1-2 sehingga wisel penamat.
Keputusan berkenaan menyaksikan Kelantan TRW berdepan laluan sukar dengan membawa defisit satu gol ke Kota Kinabalu, Sabah untuk perlawanan timbal balas pada 29 Oktober nanti. – KOSMO! ONLINE