fbpx
Bot milik Cikgu Mizam yang kami sewa untuk trip santai mencari lauk.

Relaks memancing bersama bot Natrah Indahafifah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA trip kali ini, kami memilih untuk menaiki bot Natrah Indahafifah milik Cikgu Mizam. Dia ialah seorang pengusaha bot sewa yang menawarkan harga cukup berbaloi di Penarik.

Pengalamannya sebagai tekong selama berbelas tahun membuatkan kami yakin dan teruja untuk turun meman­cing bersamanya.

Separuh masa pertama

Disebabkan hari yang dipilih adalah Jumaat, kami hanya dapat memancing separuh hari.

Setelah kami menu­naikan solat Jumaat di Masjid Penarik, kami pun bergerak ke jeti bersama nasi dan lauk yang telah siap dibungkus di gerai sekitar masjid.

Sampainya kami di sana, kami telah disambut oleh tekong, Cikgu Mizam di botnya yang bersaiz 38 kaki (12 meter) dan dipacu dua enjin 150 kuasa kuda Honda. Bot yang luas dan cukup selesa ini dilengkapi pendingin hawa dan tempat tidur.

Setelah siap memasukkan barang ke dalam bot, kami bertolak ke destinasi pertama iaitu unjam milik cikgu sendiri yang terletak lebih kurang 26 kilometer dari darat. Unjam itu berada di antara Pulau Lang Tengah dan Pulau Redang.

Pemandangan indah di sekeliling pulau-pulau ini cukup untuk membuatkan kami jatuh cinta dengan suasana pancingan laut.

Kami mula memancing dengan menggunakan apollo bagi mencari ikan-ikan kecil untuk dijadikan umpan hidup.

Ikan kerisi bersaiz kasar mula dinaikkan apabila kami berhanyut berdekatan tukun-tukun lama.

Arus yang mati membuatkan umpan sukar didapatkan. Ada juga cuba menurunkan jig untuk memburu spesies ikan predator yang bermain di sekeliling unjam, namun langsung tiada sambutan.

Tidak lama kemudian, kami pun mengambil keputusan untuk ke unjam seterusnya yang berada berdekatan dengan Pulau Perhentian.

Sampainya di sana, jig yang diturunkan oleh rakan saya telah di sambar sebelum sampai ke dasar.

Drag kekilinya terus berbunyi menunjukkan kekuatan ikan yang menyambar.

Tiba-tiba, ikan tersebut melompat keluar dan mulai memecut ke arah bot. Buat seketika, kami ingat ia sudah terlepas atau lucut. Namun ternyata rezeki masih ada, ikan todak itu berjaya didaratkan dengan selamat.

Beberapa minit kemudian, jig saya dirembat. Rupanya seekor ikan kacang.

Walaupun ikan ini dianggap remeh bagi kebanyakan pemancing, tetapi bagi saya nilainya cukup tinggi kerana ia merupakan lesen jigging pertama saya.

Setelah berehat sebentar, sekali lagi jig saya disambut oleh ikan di dasar, setelah ia dinaikkan, rupa-rupanya ikan kerong bersaiz kasar. Perasaan gembira dapat saya rasakan kerana rezeki mendapatkan ikan menggunakan jig.

Separuh masa kedua

Setelah puas bermain di unjam, bot pun bergerak balik menghala ke darat.

Sebelum itu, kami sempat singgah di tukun-tukun lama dan menghanyut bot untuk memulakan pancingan ikan kerisi.

Kawasan dasar yang berpasir dan sedikit berstruktur karang ini merupakan syurga untuk ikan kerisi di sini. Arus dan angin juga menyebelahi kami pada lewat petang itu. Kami pun mulai fokus untuk mencari lauk agar dapat dibawa pulang.

Tanpa menunggu lama, sabiki atau apollo yang kami gunakan terus disambut oleh ikan kerisi bersaiz hidangan.

Umpan hirisan kecil sotong segar juga disangkut di mata kail apollo bagi memaksimumkan potensi tangkapan.

Kerisi di sini juga cukup ramah se­­hinggakan tiga ekor berjaya dinaikkan serentak.

Setelah puas menggunakan apollo, rakan-rakan saya mula menggunakan jig berprofil gemuk dengan berat 40 gram untuk bermain ‘ketuk’ di dasar.

Walaupun tiada ikan-ikan mega yang menyambut jig mereka, namun ia tetap membuahkan hasil apabila berjaya menaikkan bebe­rapa ekor ikan kerisi dengan teknik
tersebut.

Jam menunjukkan pukul 6.30 petang dan kami terpaksa beransur pulang apabila melihat awan mendung serta bunga ribut mula kelihatan dari jauh.

Tekong menasihati kami supaya terus pulang dengan kadar segera atas faktor keselamatan. Sampainya kami di jeti, kami terus membahagikan hasil dengan sama rata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN