fbpx
Antara gambar yang dikongsi bapa mangsa memaparkan keadaan mangsa yang didakwa dipijak oleh murid darjah tiga sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Murid tahun satu dakwa dipijak, mulut ditekup tiga senior darjah tiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang murid lelaki tahun satu di sebuah sekolah di Seksyen 32, di sini terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas dipercayai menjadi mangsa buli kepada tiga murid darjah tiga ketika waktu rehat, semalam.

Mangsa didakwa dipijak berkali-kali oleh salah seorang pelaku di bahagian perut, dada dan kaki selain mulutnya ditekup serta diugut akan dicekik sekiranya melawan atau menjerit.

Menurut bapa mangsa, Ghadaffi Zainudin, 47, seorang lagi murid dipercayai bertindak sebagai pemerhati manakala seorang lagi cuba menconteng baju anaknya dalam kejadian itu.

“Anak saya beritahu hidungnya berdarah selepas kejadian. Malah, pada hari sebelumnya pun dia sudah dibaling sup panas di tangan.

“Sebelum ini pun, duit sekolahnya sering diambil dan dia kerap diganggu oleh murid yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.

Tambah bapa mangsa, menyedari kecederaan dan kesakitan yang dialami anaknya itu, dia dan isteri bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut sejak malam semalam.

Katanya, keadaan anaknya kini stabil dan tiada kecederaan dalaman serius dikesan, namun mangsa masih merasa sakit apabila ditekan pada bahagian badan.

“Alhamdulillah, pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecederaan serius. Kami masih menunggu laporan rasmi daripada pihak hospital,” katanya.

Jelasnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 7, Shah Alam, berhampiran hospital tempat anaknya dirawat.

Sementara itu, katanya, pihak sekolah termasuk guru besar, beberapa pentadbir serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru ada hadir ke hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.

“Pihak sekolah memaklumkan sedang mengenal pasti murid yang terlibat. Difahamkan, kejadian buli di sekolah itu bukan kali pertama berlaku dan pernah terjadi kepada murid lain juga oleh individu yang sama,” tambahnya.

Sebelum ini hantaran mengenai kejadian yang menimpa anaknya tular di Thread apabila dimuat naik isterinya sehingga mendapat perhatian pengguna media sosial.

Antara yang dikongsikan dalam hantaran tersebut termasuklah gambar baju sekolah anaknya yang kotor dipercayai akibat dipijak dan dibuli oleh murid terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI