fbpx
Anggota Polis membawa mayat keluar daripada kediaman mangsa di Durian Tunggal, Melaka. Gambar ARIF HAMIZAN MISKON/KOSMO!

Jiran dengar jeritan sebelum dua beradik ditemukan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Penduduk Taman Cempaka 2, Durian Tunggal dekat sini mendakwa mendengar pertengkaran sebelum dua lelaki yang juga adik-beradik warga Bangladesh ditemukan maut di dalam rumah disewa mereka, malam tadi.

Menurut Muhammad Zuhaili Mohd. Zin, 31, keluarganya mendengar pertengkaran yang diakhiri dengan jeritan kira-kira pukul 5.50 petang sebelum rakan serumah si mati pulang dan menemui mayat kedua-duanya.

“Saya pernah berborak dengan mereka, katanya adik-beradik. Si adik ini telah berkahwin dengan wanita warga Indonesia dan mempunyai seorang bayi tetapi isterinya telah melarikan diri bersama anak mereka sejak dua minggu lalu.

“Rumah ini didiami oleh mangsa dan seorang lagi lelaki rakan serumah mereka, dia lah yang jumpa mayat si abang di bahagian dapur dengan kesan tetakan, manakala adik tergantung di dalam sebuah bilik,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Tambahnya, sebelum ini si adik juga turut kerap didengari bertengkar dengan isterinya kerana wanita itu dikatakan tidak berpuas hati tidak dibenarkan bekerja.

“Laki bini ini asyik bergaduh je tak kira lah malam atau siang tetapi si mati ni sikitpun tak melawan bininya, mungkin itu juga menyebabkan tekanan terhadapnya apatah lagi selepas isterinya itu melarikan diri.

“Si adik ni kalau jumpa saya mesti tegur bagi salam, tak tahu lah kenapa dia bergaduh dengan abangnya sampai jadi macam ni,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua mangsa bekerja di tapak pembinaan projek perumahan berhampiran taman tersebut.

Terdahulu, mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar pihak polis pada pukul 10.45 malam tadi selepas siasatan di lokasi selesai dilakukan oleh pasukan forensik.

Setakat ini, pihak polis bagaimanapun masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN